PERKONGSIAN bekas isteri pengacara Ally Iskandar iaitu Farah Lee mengenai hubungan baik yang terjalin antara mereka selepas berpisah mendapat perhatian netizen.
Farah atau nama sebenarnya Nurfarahin Romli, menerusi Instagram pada malam Rabu merakam momen berbuka puasa bersama bekas suaminya itu ketika pulang ke Malaysia sambil bertukar-tukar hadiah.
Wanita yang juga selebriti media sosial itu kini menyambung pelajaran di United Kingdom menyentuh hati netizen yang menganggap hubungan profesional berkenaan adalah demi membesarkan anak mereka, Maream Esaabel kini berusia lima tahun.
Ally dan Farah teruskan hubungan baik demi anak mereka.
Pemilik akaun @TheAyuAziz meluahkan perasaan sebaknya dan menganggap hubungan antara bekas suami-isteri boleh menjadi baik selepas bercerai demi anak.
Ia juga menyifatkan tahap pendidikan Farah dan Ally membuatkan mereka tahu betapa pentingnya emosi seorang anak yang sedang membesar.
"Adakah saya seorang sahaja yang menangis melihat Instastory Farah. Saya rasa tenang bila tengok dia boleh berbaik dengan bekas suami demi anak. Maksud saya bukan dengan berkahwin semula tapi duduk sebelah dan berbual.
"Perbezaan orang yang terpelajar mereka tahu betapa pentingnya keperluan dan emosi anak," ujarnya.
Farah Lee berterima kasih atas doa netizen terhadap keluarganya.
Dalam pada itu, Farah berkata, apa yang dikongsikan bukan bertujuan untuk meraih perhatian atau membuat orang lain tersentuh.
Katanya apa yang dikongsikan adalah kehidupan biasa yang sedang dilalui dan tidak semua pasangan yang berpisah mempunyai hubungan tidak baik.
"Bukan tujuan untuk membuat orang menangis tapi cuma nak berkongsi kehidupan seharian saya. Teruja sebab lama tak balik Malaysia, terima kasih atas doa semua.
"Kita tidak boleh mengubah apa yang sudah berlalu tapi kita sentiasa mampu menentukan kehidupan akan datang," ujarnya.
Ally dan Farah mendirikan rumah tangga pada 20 Januari 2012 namun bercerai pada 17 Ogos 2016. Pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan, Maream Esaabel, 5.
0 Comments