BEKAS isteri Aliff Aziz iaitu Bella Astillah turut tertanya-tanya mengenai status penyanyi itu di Twitteryang membayangkan ingin merujuk semula perkahwinan mereka.
Bagaimanapun Bella, 25, berkata, dia perlu menjaga hati banyak pihak dalam memberi sebarang kenyataan berkaitan kontroversi rumah tangga mereka sebelum ini.
"Saya tidak mahu komen kerana ia melibatkan banyak hati. Lagi pula status itu tidak tahu ditujukan kepada siapa.
"Kami baru bercerai dan saya pula sudah mula fokus bekerja. Saya tidak mahu orang cakap saya tak henti-henti keluar kenyataan," ujarnya kepada mStar.
Status Aliff pagi Selasa menggambarkan mahu rujuk semula.
Pagi Selasa, penyanyi Aliff Aziz memuat naik status yang memberi bayangan agar disatukan jodohnya namun tidak pasti sama ada ia untuk bekas isteri ataupun orang lain.
“Ya Allah satukanlah jodoh kami. Seandainya dia bukan jodohku, jadikanlah aku jodohnya," tulis Aliff di Twitter.
Dalam pada itu, Bella berkata, selepas dua minggu bercerai dia kini lebih tabah dan disokong keluarga dan rakan-rakan.
"Saya fokus untuk membesarkan anak sahaja. Apa-apa pun orang nak cakap, saya cuma harap doakan sahaja yang baik-baik dengan jalan yang kami pilih," ujarnya.
Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan bercerai pada 16 Mei lalu.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia dua tahun.
0 Comments