Ibu melutut,merayu depan suspek

Ibu melutut,merayu depan suspek

Ibu melutut,merayu depan suspek

IBU kanak-kanak perempuan yang ditemui mati dalam keadaan tragis di ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir, di sini, Sabtu lalu, Siti Masitah Ibrahim, 11, bertindak melutut dan merayu kepada suspek supaya memulangkan semula anaknya.
Perkara itu diceritakan semula ibu saudara mangsa, Norasiah Abdul Manan, 33, selepas suspek ditahan penduduk kampung pada malam 30 Januari lalu.
Katanya, ibu mangsa, Solihah Abdullah, 35, merayu kepada suspek yang dikenali sebagai Assom itu untuk memberitahu di mana Siti Masitah berada memandangkan dia adalah individu terakhir dilihat bersama kanak-kanak itu.


“Sambil menangis Kak Long meminta Assom memulangkan Masitah, malah dia terus berlutut dan merayu kepada suspek, namun suspek berkeras dengan mengatakan dia tidak tahu.
“Kami sememangnya mengenali suspek kerana dia pernah tinggal di kawasan kejiranan ini namun difahamkan sudah berpindah dua tahun lalu," katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di Pekan, hari ini.
Difahamkan, suspek yang berusia 23 tahun itu adalah individu terakhir dilihat membawa mangsa menaiki motosikal pada hari dia dilaporkan hilang.
Dalam kejadian jam 5 petang Sabtu lalu, mayat Siti Masitah ditemui dalam keadaan tidak sempurna dengan tangannya diikat ke belakang dan tidak berseluar di dalam ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan.
Lebih memilukan kepala mangsa didapati terpisah dari badannya manakala beberapa organ dalamannya hilang.
Norasiah berkata, dia hairan bagaimana Siti Masitah boleh mengikut suspek sedangkan anak ketiga dari empat beradik itu bukan seorang yang mudah mesra dengan orang.
“Walaupun suspek biasa datang dan bermalam di rumah mangsa, namun Masitah tidak begitu rapat dengannya, sebab itu saya hairan bagaimana dia boleh mengikuti lelaki itu.
“Setahu saya sebelum kehilangannya Masitah memberitahu ibunya mahu ke kedai runcit untuk membeli mi segera, jarak kedai runcit itu hanyalah kira-kira 200 meter dari rumahnya..saya tidak tahu di mana Masitah berjumpa lelaki itu," katanya.
Norasiah berkata, keluarga mangsa melayan suspek dengan baik dan sering memberinya makan apabila datang ke rumah mereka di Kampung Kemahang, Tanjung Medang.
Katanya, walaupun sudah berpindah ke Kampung Parit Tengah sejak dua tahun lalu namun suspek selalu singgah ke rumah keluarga mangsa.
“Kak Long selalu menjamunya makanan apabila berkunjung ke rumah, kami pun hairan mengapa dia bertindak kejam sebegitu rupa dan melupakan layanan baik diberikan keluarga Kak Long kepadanya.
“Kejadian ini sangat menyedihkan dan berharap keadilan dapat ditegakkan untuk Siti Masitah,” katanya.

Post a Comment

0 Comments