BUKAN tiga kilometer (km), bukan juga 30km, tetapi 300km!
Itulah jarak yang harus ditempuh oleh seorang guru wanita demi mencurahkan ilmu kepada anak bangsa yang tinggal di kawasan pedalaman.
Rutin harian Nur Farizan Mat Ghani, 31, adalah bangun pada pukul 3 pagi setiap hari untuk mengejar kereta api seawal pukul 4 pagi dari Tanah Merah menuju ke Dabong, Kelantan.
Selepas lebih tiga jam membelah keheningan pagi, guru pra-sekolah di Sekolah Kebangsaan(SK) Kuala Geris itu akhirnya tiba di sekolah pada pukul 7.30 pagi untuk memulakan tugas sebagai pendidik.
Suaminya yang juga seorang guru di kawasan pedalaman di Sarawak, Mohd Khairul Izzuddin Shaari, 30, mengakui tidak lagi sanggup berjauhan dengan Nur Farizan dan anak mereka yang baru berusia empat bulan.
"Jarak 150km pergi, 150km balik. Itulah rutin isteri saya setiap Ahad hingga Khamis dan dia akan sampai di rumah semula sekitar pukul 8 malam.
"Isteri saya terpaksa berulang alik kerana dia masih menyusukan bayi lelaki kami. Cuma, semasa hamil dulu, dia tinggal di asrama sekolah bersama murid-murid," katanya ketika dihubungi mStar Online selepas postingnya di Twitter meraih perhatian netizen.
Hati suami mana yang tidak sayu apabila melihat isteri tercinta terpaksa berkorban masa dan tenaga sehingga memudaratkan diri sendiri demi melaksanakanan tanggungjawabnya sebagai guru.
Pasangan ini menimang cahaya mata sulung pada September tahun lalu.
Tambah guru Pendidikan Seni di SK Long Palai, Baram itu, dia semakin bimbang apabila isterinya sering mengadu tertekan kerana tidak cukup rehat dan kurang masa untuk memberi perhatian kepada anak mereka.
"Tiada pilihan lain selain naik kereta api ke sekolah sebab kalau nak memandu seorang diri memang bahaya.
"Kuarters guru pula penuh dan persekitaran untuk menyewa rumah di kawasan berdekatan pula tidak selamat. Dia sampai tiada masa nak bersama dengan 'baby' kerana terlalu penat.
"Jadi, dia terpaksa tinggal dengan ibu bapa mertua di Kota Bharu. Kadang-kadang dia 'depressed' untuk uruskan semuanya sendiri," ujar Mohd Khairul Izzuddin yang kesal permohonannya untuk ditukarkan ke Semenanjung dipandang sepi.
Menurut guru yang berasal dari Setiu, Terengganu itu, dia tidak mengharapkan untuk dipindahkan ke sekolah yang sama dengan isterinya, namun sudah cukup jika dapat berkhidmat di Semenanjung.
Mohd Khairul Izzuddin bersama anak muridnya.
"Dapat pindah Semenanjung pun jadilah. Sekurang-kurangnya kalau ada kecemasan atau jadi apa-apa, saya boleh sampai dalam masa sehari.
"Bayangkan, macam mana saya nak balik jenguk anak isteri kalau saya sendiri nak keluar pun kena naik kereta pacuan empat roda selama hampir lapan jam ikut jalan balak untuk ke Miri?," katanya yang sudah tiga tahun mengemukakan permohonan ke Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Pasangan guru 'duka lara' itu pernah mengajar di sekolah sama iaitu SK Long Palai pada 2017, namun Nur Farizan menerima surat arahan untuk dipindahkan ke Kelantan pada penghujung tahun sama.
"Saya tak nak anak membesar tak kenal ayah dia. Saya harap sangat pihak KPM buka mata isu guru 'duka lara' ni.
"Sebab situasi ni boleh membawa kepada keadaan yang lebih serius. Macam kemurungan, malahan ada yang bercerai disebabkan masalah ini," katanya mendirikan rumah tangga pada 2017.
0 Comments