Pasaraya Borong Punggah Babi

loading...
Loading...
Pasaraya Borong Punggah Babi

HEBOH di media sosial apabila rakaman menunjukkan beberapa pekerja sebuah pasar raya borong sedang memunggah babi dari sebuah lori.
Video berdurasi dua minit itu didakwa dirakam di pasar borong NSK Kuchai lama, Kuala Lumpur dan dimuat naik pada pagi Rabu oleh seorang pengguna Facebook.
Setakat ini, rakaman tersebut sudah ditonton lebih 145,000 kali dan dikongsi lebih 4,500 kali. Ia juga dikongsi melalui aplikasi WhatsApp.
Video tersebut, yang dirakam dari dalam sebuah kenderaan lain menunjukkan lima pekerja bergilir-gilir memunggah babi dari sebuah lori sebelum memikulnya ke atas bahu mereka untuk dipindahkan.
Rakaman itu meraih pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dan ada antara mereka yang mengugut untuk memboikot NSK yang didakwa menjual daging tidak halal di pasar borong tersebut.
Susulan itu, mStar Online menghubungi pihak NSK bagi mendapatkan kepastian tentang video berkenaan.
Paparan skrin perbualan yang turut tular di kumpulan WhatsApp.
Pengarah NSK Holdings Sdn Bhd, Datuk Chiew Lian Keng ketika dihubungi berkata, rakaman tersebut adalah 'isu lama' yang sengaja ditularkan dan pihaknya akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan kes ini.
"Polis ada hubungi saya, ini cerita lama. Sudah dua atau tiga tahun lalu... mereka tular semula.
"Kami tidak boleh buat apa-apa, selain buat laporan dan terpulang kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk ambil tindakan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Kata Lian Keng, beliau juga akan mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguamnya untuk tindakan selanjutnya.
NSK merupakan sebuah pasar borong yang menawarkan harga rendah kepada pelanggan.
Tambahnya, beliau berpendapat adalah tidak wajar untuk pengguna berkongsi posting tersebut kerana mereka menyebarkan video yang tidak diketahui sumbernya.
Beliau mendakwa, pasar borong tersebut telah mengikuti piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan iaitu menyediakan pintu masuk berasingan yang dikhaskan untuk daging halal dan tidak halal.
"Memang kita ada dua pintu masuk, satu pintu daging 'non-halal', satu pintu daging halal. Dua pintu ini tiada kena-mengena.
"Video yang dirakam itu pun cuma dari satu sudut sahaja, memang tak patut," jelasnya.

Post a Comment

0 Comments