Kisah Gadis XXL beli pil kurus guna duit PTPTN...

Kisah Gadis XXL beli pil kurus guna duit PTPTN...

Kisah Gadis XXL beli pil kurus guna duit PTPTN...

ORANGNYA kelihatan cantik, kurus dan tinggi. Sekali pandang memang tiada apa yang kurang, pendek kata dari segi fizikalnya nampak sempurna.
Namun di sebalik kesempurnaan gadis ini, tersimpan satu rahsia bahawa dia pernah mempunyai berat badan mencecah 120kg pada 2017, ketika dia berusia 20 tahun.
Segalanya bermula apabila cintanya ditolak gara-gara berbadan besar dan berkulit gelap.
Sejak kejadian itu, Nur Ain Afiqah Jamalullail, 22, tekad menurunkan berat badannya.
Dari berat 120kg, Nur Ain atau lebih mesra disapa Ain kini berjaya turun kepada 65 kg dalam tempoh lapan bulan.
"Saya memang berbadan besar sejak di sekolah rendah lagi. Bukan saya tak cuba diet tetapi tidak menjadi. Bila dah besar saya teringin bercinta.
"Jadi saya luah perasaan terhadap seorang lelaki yang saya kenal pada Mei 2017. Waktu tu saya masih belajar di Politeknik Hulu Terengganu.
"Dia kata saya gemuk, bukan taste dia dan tak sedar diri. Dia juga suruh saya cermin muka saya dulu sebelum nak mengorat dia. Saya amat kecewa.
"Lepas kena reject saya sedar saya kena move on. Jadi saya tekad untuk kurus supaya orang tidak pandang rendah pada diri saya lagi," katanya kepada mStar Online.
Ain menasihati gadis yang senasib dengannya supaya jangan takut untuk berubah.
Akhirnya Ain berjaya menguruskan badannya selepas mengamalkan kawalan diet pemakanan dan senaman yang konsisten.
"Saya berjaya dapat berat yang diidamkan. Sekarang saya cuma perlu kawal pemakanan saya. Saya hanya makan protein dan tak minum air manis.
"Saya juga amalkan minum air masam sebanyak tiga liter sehari dan lakukan workout selama 30 minit dan berjoging," katanya.
Jelas gadis kelahiran Terengganu itu, sebelum mengamalkan diet pemakanan sihat dia pernah mengambil pil kurus kerana mahu memikat lelaki yang diminatinya selain tidak tahan dengan ejekan rakan-rakan dan saudara maranya.
"Saya selalu diejek rakan-rakan, kadang-kadang saudara mara pun cakap saya gemuk, sampai satu tahap saya sedih dan malu nak berdepan dengan mereka.
"Sebelum diet saya pernah cuba macam-macam pil kurus termasuk Sh***** tetapi tak menjadi. Bila dapat duit PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) setiap semester saya dah fikir nak beli produk yang didakwa berkesan.
"Saya habiskan sehingga RM300 setiap bulan sebulan. Dalam sebotol dapatlah turun dua hingga tiga kilogram tapi bila pil tu habis berat naik semula dua kali ganda. Saya terkejut apabila timbang berat saya 120kg pada 2017," katanya.
Justeru Ain menasihati orang ramai yang mahu melangsingkan badan supaya jangan mudah percaya dengan pil kurus.
Ain kini mahu menurunkan berat badannya kepada 60 kg.
"Tiada jalan pintas untuk kurus. Sebenarnya bila kita makan pil kurus ia jadikan tak lapar tapi sebenarnya ubat itu boleh rosakkan buah pinggang.
"Kalau kurus pun sekejap, lepas tu berat badan akan naik jika pil tidak diambil secara berterusan. Seeloknya amalkan pemakanan sihat dan gaya hidup aktif, itulah kunci sebenar untuk mengekalkan bentuk badan ideal," katanya.
Selepas berjaya mendapatkan bentuk badan yang diidamkan, Ain berkata lelaki yang menolak cintanya suatu ketika dulu pernah cuba mendekatinya semula.
"Dia macam nak kawan dengan saya semula. Saya tak terima kerana sudah tawar hati," katanya.
Gambar terbaharu Ain yang bertubuh langsing dan cantik menjadi tumpuan netizen sejak ia dimuat naik di laman Twitter beberapa hari lalu.
Susulan itu ramai yang memuji perubahan fizikal Ain dan bertanya rahsia bagaimana dia boleh tampil kurus dan cantik.
Posting mengenai tip dan menu pemakanan sihat yang dimuat naik Ain diulang kicau lebih 5,000 kali dan mendapat 6,251 tanda suka.

Post a Comment

0 Comments