Isteri 'ikut' suami sehari selepas meninggal di Makkah, "Saya hanya cakap mama papa balik minggu depan, tiket tak ada..."

Isteri 'ikut' suami sehari selepas meninggal di Makkah, "Saya hanya cakap mama papa balik minggu depan, tiket tak ada..."

Isteri 'ikut' suami sehari selepas meninggal di Makkah, "Saya hanya cakap mama papa balik minggu depan, tiket tak ada..."

PETALING JAYA: Kepulangan sepasang suami isteri ini yang mengerjakan umrah sejak 27 Oktober lalu amat ditunggu-tunggu oleh tiga anaknya, adik-beradik dan juga sanak saudara.

Namun kelibat Fouad Skh Mohamed, 44, dan isterinya, Rose Hasnitah Ahmad, 47, yang dijadualkan tiba pada 7 November lalu tidak kelihatan.
Segalanya sudah ditakdirkan, kedua-duanya meninggal dunia di tanah suci Makkah.
Berita pemergian sepasang suami isteri itu dikongsi Firdaus Mustaffa di Facebook dan menjadi tular sejak Khamis lalu.

Menurut posting tersebut, Fouad menghembuskan nafas terakhirnya 24 jam sebelum berangkat pulang ke tanah air manakala Rose Hasnitah, sehari sebelum itu.

Firdaus berkata suhu badan Rose Hasnitah terlalu tinggi semasa pemeriksaan di lapangan terbang sebelum berangkat pulang ke Malaysia.




"Maka pada ketika itu, dia tidak dibenarkan pulang dan dimasukkan ke wad di hospital Jeddah. Berkemungkinan ditahan dua hingga tiga hari.

"Beberapa jam selepas ditahan wad, giliran si isteri dijemput ‘bertemu’ Allah mengiringi pemergian suaminya sehari sebelum itu.
"Mereka pergi dalam keadaan anak-anak dan ahli keluarga menanti kepulangan mereka ke Malaysia. Paling bongsu belajar di darjah dua.

"Kisah ini seperti sebuah drama. Tetapi ianya adalah kisah benar," katanya dalam posting tersebut.
Adik kepada Rose Hasnitah, Rosemah Ahmad ketika dihubungi mStar Online berkata mereka sekeluarga reda dengan pemergian kakak dan abang iparnya.

"Kami reda. Mereka insan terpilih. Cinta sejati sampai ke syurga," katanya.


Gambar kenangan Rosemah bersama kakaknya.

Bagaimanapun anak keempat daripada lapan adik-beradik itu mengakui sedih kerana seakan-akan tidak percaya kakaknya itu sudah tiada.
"Kami sangat rapat. Kakak terlalu baik. Dia selalu beri nasihat kepada kami. Tiba-tiba bila dia dah tak ada semua sedih.

"Pemergian kakak begitu dirasai bukan sahaja oleh adik-beradik tapi sanak-saudara dan juga rakan-rakannya. Ramai yang telefon menangis... sedih sebab dia baik sangat," katanya.
Rosemah turut bersimpati dengan nasib tiga anak pasangan itu terutamanya Nurul Eman Heleesyah atau lebih dikenali sebagai Isyah yang baru berusia 8 tahun.

"Ketiga-tiga mereka jadi anak yatim piatu sekelip mata. Paling menyedihkan apabila Isyah mengigau panggil mama papa dia. Masa tu pukul 2 pagi. Waktu tu kami semua berkumpul di rumah mak cik buat tahlil.

"Lepas tu saya bawa dia balik ke rumah kakak sekejap. Dia ambil baju mama dan papa dia... dia peluk cium bawa balik ke rumah kakak sulung dia. Dia pun bawa tidur baju-baju tersebut," katanya.
Rosemah yang tinggal di Melaka berkata pada awalnya sukar untuk dia memberitahu perkara sebenar kepada Isyah.



Rose Hasnitah bersama anak bongsunya, Isyah.

"Saya dapat tahu akak meninggal pukul 8.30 malam waktu Malaysia. Waktu tu saya macam tak percaya dan minta pihak sana buktikan dan buat pengesahan. Pada masa sama, saya, kakak Isyah menangis.

"Isyah datang tanya kenapa saya dengan kakak Nurul (anak sulung) menangis. Saya cakap tak ada apa-apa. Saya suruh dia pergi main dekat depan. Kira-kira setengah jam kemudian saya dapat panggilan mengesahkan berita kematian kakak.

"Tiba-tiba dia pun menangis sama sebab orang ramai pun menangis. Dia cakap nak mama papa. Lepas tu saya peluk dia. Saya tak sampai hati nak beritahu. Saya hanya cakap kat dia mama papa dia balik minggu depan sebab tiket kapal terbang tak ada," katanya.
Selepas dinasihati sanak saudara, Rosemah berkata dia akhirnya menceritakan kepada Isyah bahawa ibu dan bapanya sudah tiada.

"Waktu tu kami berkumpul ramai-ramai. Saya panggil dia duduk depan saya. Saya tanya dia tahu tak kenapa saya menangis? Kenapa kak Nurul menangis? Kenapa semua menangis? Dia jawab tak tahu.

"Saya sambil nangis beritahu dia kena sabar dengan apa yang saya akan beritahu dia. Sebenarnya mama papa Isyah dan meninggal dunia. Masa tu dia menangis sambil cakap nak mama papa," katanya.


Rosemah turut sebak dengan pertanyaan Isyah yang ingin mengetahui mengenai punca kematian ibu dan bapanya.

"Dia tanya kenapa mama papa meninggal? Mama papa sakit apa? Saya cakap mama papa dia tak sakit. Allah sayang mereka, tu yang Allah ambil mereka tinggal di sana," katanya sebak.

Menerusi rakaman audio Isyah kepada abangnya, Daniall Eman Nur Hazreen, 24, yang dikongsi Rosemah, kanak-kanak itu berkata: “Patutlah semalam Isyah WhatsApp mama tak dapat. Rupa-rupanya Isyah tak tahu mama dah meninggal. Mereka rahsiakan. Isyah nangis la masa tu sebab nak jumpa mama papa. Lepas orang ramai datang baru mereka cakap," katanya.

Daniall Eman yang juga anak kedua pasangan tersebut dijangka tiba di tanah air dari Perancis malam ini.

Post a Comment

0 Comments