Sujud Syukur Terakhir Ustaz Hassan

Sujud Syukur Terakhir Ustaz Hassan

Sujud Syukur Terakhir Ustaz Hassan

PERMINTAAN terakhir tokoh agama, Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari mahu melakukan sujud syukur tertunai sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir, hari ini.
Anak ke-11 arwah, Datuk Mohd Zain Hassan berkata, bapanya sempat menunaikan permintaan terakhir itu dengan bersujud kira-kira 15 minit pada Sabtu lalu bersama abangnya ketika berada di rumah.
“Allahyarham cakap dia mahu sujud buat kali terakhir untuk meminta ampun dan menyatakan kesyukuran kerana dipanjangkan umur.



“Dia sujud selama 15 minit pada Sabtu lalu. Keesokan harinya, arwah langsung tidak boleh bercakap sebelum kami bawa Allahyarham ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya ketika ditemui di kediaman arwah di Persiaran Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, hari ini.
Mohd Zain yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) berkata, Allahyarham dirawat di HKL selama seminggu sejak Ahad lalu.
“Arwah meninggal dunia akibat kanser limfoma yang dikesan sejak akhir Ogos lalu.
“Akhir Ogos lalu, Allahyarham demam dan selepas pemeriksaan dilakukan, bapa didapati mempunyai kanser limfoma tahap empat.
“Kami bergilir-gilir menjaganya sejak dia demam sebelum dibawa ke HKL Ahad lalu, namun tahap kesihatannya mulai menurun sejak pagi tadi sebelum meninggal dunia pada 5 petang,” katanya.
Beliau berkata, Allahyarham akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, pada 9 pagi esok sebelum dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam di Persiaran Kayangan, Seksyen 5, Shah Alam, Selangor.
Kaum keluarga dan rakan Allahyarham mula memenuhi kediamannya sejak 7 malam tadi untuk menziarahi dan memberi penghormatan terakhir buat jenazahnya.

Post a Comment

0 Comments