KUALA LUMPUR: Tun Daim Zainuddin hari ini mencadangkan kerajaan membina satu muzium khas untuk mempamerkan semua beg tangan yang didakwa milik isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang dirampas pihak berkuasa pada Mei lalu.
Katanya, muzium khas itu dicadangkan dibina di atas tapak projek Bandar Malaysia bersama satu taman, bagi menarik pelancong dari dalam dan luar negara.
“Kalau boleh, saya nak cadangkan di pangkalan udara itu (di Bandar Malaysia) dijadikan taman supaya orang Kuala Lumpur boleh berkelah di situ.
“Nanti kita juga buka satu muzium, kita letak beg tangan (Datin Seri) Rosmah (Mansor), supaya satu dunia boleh datang tengok,” katanya disambut gelak tawa hadirin.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sepetang bersama penduduk Parlimen Titiwangsa di sini, hari ini. Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun.
Pada 18 Mei lalu, polis menyita 284 kotak berisi beg tangan jenama terkemuka antaranya Hermes Birkin dan Louis Vuitton daripada pangsapuri mewah, Pavilion Residences Apartment dekat Bukit Bintang di sini, yang diperiksa dalam siasatan polis berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Siasatan dan penggeledahan selama 53 jam itu turut merampas 72 beg bagasi berisi sejumlah wang tunai, barang kemas dan pelbagai barangan berharga.
Semua beg tangan dan barangan kemas dirampas itu dianggarkan bernilai jutaan ringgit dan memerlukan lima trak polis untuk mengangkutnya.
Terdahulu, Daim ketika berkongsi pengalaman tinggal di Kampung Baru, mendedahkan antara kekayaan yang diperolehnya adalah hasil keuntungan berganda ketika menjual tanah dimilikinya di kawasan itu untuk pembinaan Transit Aliran Massa (MRT).
“Saya pernah duduk di Kampung Baru ketika baru pulang dari England dulu.
Saya ada beli tanah di sini dengan harga tidak sampai RM600, dan MRT beli pada harga RM17 juta,” katanya.
0 Comments