MACHANG - Suasana Hentian Rehat di Bukti Belah, di sini tenang, namun menjelang malam suasana bertukar apabila menjadi tumpuan masyarakat.
Ia berikutan kehadiran perawat perubatan Islam ustaz Norazman Al-Banjary, 45 atau lebih dikenali sebagai ustaz jin yang sekali lagi hadir di lokasi tersebut bermula 20 September sehingga 13 Oktober ini.
Konsep perubatan secara terbuka pusat rawatan Islam itu menjadikan orang ramai hadir yang ingin mendapatkan rawatan turut dapat menyaksikan pelbagai kisah misteri itu dengan mata sendiri.
Menurut Norazman, beliau melakukan rawatan perubatan yang melibatkan sihir, saka sampuk selain kes gangguan dalaman yang sering kali berlaku dalam masyarakat.
Gelaran ustaz jin diperoleh Norazman kerana kaedah perubatan dibuat bukan setakat mengubat pesakit tetapi, turut berdakwah termasuk dengan jin.
“Semasa rawatan, selepas rukyah dibacakan kepada pesakit, jin tersebut akan kepanasan, di situ saya akan mempersoalkan jin itu kenapa memasuki badan manusia,
“Jika jin Islam saya tekankan kesalahan mengganggu manusia manakala yang kafir saya akan minta untuk masuk Islam,” katanya yang berasal dari Melaka dan mempunyai salasilah dari Indonesia.
Ditanya jumlah yang jin yang berjaya di Islamkan, beliau berkata, setiap malam tidak kurang 10 kes besar yang membabitkan jin yang diuruskan beliau semasa sesi perawatan yang bermula 9 malam sehingga lewat pagi.
“Kadang-kadang ada berlanjutan sehingga hampir subuh, saya kadang-kadang tidur pun beberapa jam sahaja kerana tidak mahu menghampakan pesakit yang datang dari pelbagai tempat untuk berubat,” katanya.
Beliau yang mendapat pertolongan anak dan menantunya ketika melakukan rawatan berkata, sepanjang berada di Machang, terdapat kes sihir yang mana beliau berjaya mengeluarkan pelbagai benda dalam tubuh badan manusia.
“Tujuan saya membuat perubatan secara terbuka ini adalah kerana mahu orang ramai melihat sendiri apa yang berlaku,
“Apa yang dikeluarkan dalam badan manusia yang pada mata pandangan manusia agak janggal, tetapi ia berlaku dalam perubatan Islam. Kita berjaya keluarkan rambut dalam botol minyak wangi, dawai dan paku, hasil dari perbuatan sihir.
“ Jika dulu, ada orang kata saya ini menipu, tetapi setelah melihat sendiri di depan mata, tiada lagi suara sumbang itu,” katanya yang turut memuatkan dalam Facebook peribadinya setiap perawatan yang dilakukannya.
Katanya, beliau telah menemui pelbagai kes jin termasuk kebolehan makhluk itu berbahasa Inggeris, Indonesia, Siam bergantung kepada pemilik asalnya.
Beliau berkata, pesakit yang hadir untuk menjalankan rawatan hadir dari segenap pelosok termasuk dari Singapura.
“Semasa saya berada di Kelantan ada pesakit yang datang dari Terengganu dan negeri-negeri lain dan ada keluarga dari Singapura hadir untuk mendapat rawatan,” katanya yang menggunakan sepenuhnya ayat-ayat al-Quran.
Dalam masa berkata, setiap perawatan dilakukan tidak dikenakan sebarang caj kepada pesakit, tetapi mereka ingin memberi derma untung tabung dialu-alukan.
“Kita akui ada daripada kita tidak mampu nak bayar, kita pergi ke kampung-kampung mereka tiada duit, sesetengah perawat meletak harga yang tinggi, tetapi kadang-kadang pesakit tidak pun sembuh,” katanya.
0 Comments