“Wan Terpaksa Menahan Sejuk & Lapar Sepanjang Malam” Banjir, Nenek 74 Tahun Berpaut Atas Pokok Manggis Lebih 18 Jam

“Wan Terpaksa Menahan Sejuk & Lapar Sepanjang Malam” Banjir, Nenek 74 Tahun Berpaut Atas Pokok Manggis Lebih 18 Jam

 RAUB, 7 Jan (Bernama) — “Wan tak fikir apa, kalau Wan mati hari ini, harap yang baiklah untuk Wan”.

Itu luahan Razmah Sarip yang terpaksa berpaut di atas sebatang pokok manggis lebih 18 jam bersama anak perempuannya selepas rumah mereka berhampiran Sungai Kerak, Kuala Gali, di sini, dinaiki air banjir melepasi bumbung rumahnya.

Menceritakan detik cemas berkenaan, warga emas berusia 74 tahun itu yang mesra disapa ‘Wan’ berkata banjir naik secara mendadak dan deras hingga mengakibatkan beberapa struktur rumahnya runtuh.

“Air naik sekitar 1.30 tengah hari Ahad lepas. Kebiasaannya selepas beberapa jam ia akan surut, tetapi kali ini lain, makin lama makin tinggi. Hingga air sampai paras dada, anak bawa Wan keluar, kebetulan kami jumpa pelampung kecil yang hanyut di depan rumah… kami berpaut pelampung sebelum naik ke atas pokok manggis berhampiran.

“Wan terpaksa menahan lapar dan sejuk sepanjang malam, nasib baik anggota keselamatan jumpa kami atas pokok kira-kira jam 5 pagi,” katanya sebak ketika ditemui Bernama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Muhammad Jabar di sini, hari ini.

Anaknya, Rosmawati Rasman, 44, berkata rumah yang mereka diami antara empat rumah yang terletak berdekatan dengan Sungai Kerak dan kesemuanya ditenggelami air sehingga ada antaranya musnah akibat banjir.

“Rumah kami musnah dan selepas ini perlu mulakan hidup baharu. Sudah tentu sukar kerana saya hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dan suami bekerja sebagai penoreh getah.

“Sementara ini kami sekeluarga tinggal di PPS dan apabila keadaan semakin reda, kami mungkin dapatkan bantuan ahli keluarga lain atau mereka yang terbabit bagi mendapatkan rumah (membina kembali rumah) untuk berlindung,” katanya.

Selain Razmah dan anaknya, terdapat empat lagi mangsa banjir yang juga terpaksa berlindung di atas pokok sebelum pasukan keselamatan tiba memberi bantuan.

Turut berkongsi detik cemas dilanda banjir, Mohd Azlan Syah Jaamat, 47, dari Kampung Gali Tengah, yang bagi beliau banjir kali ini satu kejutan bagi penduduk di kampung itu.

Beliau yang kini berlindung di PPS Pusat Kegiatan Kemas Daerah Raub, berkata banjir di kawasan itu adalah yang terburuk sejak 20 tahun lepas.

Katanya, dalam hanya tempoh kurang 30 minit, air dari sungai berdekatan melimpah dan air naik sehingga paras pinggang.

“Tak sempat nak selamatkan apa-apa, sehelai sepinggang. Berpuluh tahun duduk sini, ini banjir terburuk…kawasan kami tak pernah naik air,” katanya.

Mangsa yang ditemui turut memuji tindakan pantas dan proaktif agensi terlibat dalam memastikan kebajikan dan kesihatan penghuni di PPS.

Setakat jam 2 petang ini, Pahang mencatatkan jumlah mangsa banjir seramai 23,105 orang daripada 6,267 keluarga di 278 PPS.

Post a Comment

0 Comments