Rata-rata rakyat Malaysia sedang bimbang dengan kes positif COVID-19 baru-baru ini yang sering mencecah lebih dua ribu pesakit. Lebih membimbangkan rakyat apabila terdapat sebuah perkongsian yang menunjukkan proses kuarantin dan rawatan COVID-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang yang dilihat padat dengan pesakit positif COVID-19.
Jika sebelum ini kami ada berkongsi mengenai suasana yang telah membimbangkan ramai pihak itu, perkongsian kali ini pula adalah perkongsian yang telah tular di laman Twitter, Muhamad Afifie Chan telah menjelaskan beberapa persoalan dari ramai pihak mengenai suasana sewaktu menjalani kuarantin di MAEPS, Serdang bermula pada 7 Januari yang lepas.
“Saya harap perkongsian ini boleh menyebarkan aura positif dan menunjukkan keadaan sebenar yang terjadi di sini.
“Keperluan asas; Tandas. Terdapat 6 tandas di dalam dewan ni. Setiap tandas ada sekitar 4-6 kubikel. Setakat ini tidak pernah beratur atau menunggu untuk masuk.
“Keadaan di dalam salah satu bilik tandas. Bersih dan dijaga dengan baik. Selesa untuk digunakan. Janganlah harapkan macam tandas kat hotel.
“Bagaimana mereka menghidangkan makanan? Makanan akan dihantar ke setiap katil. Kami saling tolong-menolong. Kerana kita bersama-sama. Ramai yang telah bantu petugas untuk agihkan makanan,” kongsi beliau dalam untaian tersebut.
Dalam menjawab persoalan mengenai katil yang disusun agak rapat serta kemudahan yang digunakan orang ramai di dalam pusat tersebut, beliau telah menjelaskan bahawa ia bukanlah isu yang membimbangkan.
“Semua disahkan positif dan tidak bergejala serta berisiko rendah di mana keadaan kami tidak berjangkit. Saya tak tahu istilah perubatan yang betul tapi lebih kurang macam kami tak boleh dijangkiti dan menjangkiti sesama sendiri.
“Oleh itu, kami boleh berkongsi kemudahan yang sama tapi kami harus menjaga jarak dan patuh pada Prosedur Operasi Standard (SOP) sesama kami,” jelas beliau.
Beliau turut menjelaskan bahawa pesakit bagi warga asing telah ditempatkan di dewan berasingan dengan pesakit tempatan. Perkara tersebut difahamkan bagi memudahkan urusan pendaftaran, pemerhatian dan pengumuman.
Beliau turut memuat naik video bagi menunjukkan pintu utama di mana pesakit baharu dimasukkan.
“Sorakan itu untuk bagi semangat pada yang baru masuk supaya diorang tak rasa takut. Semangat yang amat menakjubkan.” kata beliau.
Selain itu, rata-rata petugas bagi barisan hadapan yang membantu proses kuanrantin tersebut telah melahirkan suasana yang ceria di dalam dewan tersebut.
“Yang buat pengumuman ni sangat sempoi. Lawak sangat. Petugas pun melayan. Ceria betul keadaan!” katanya.
Menjawab persoalan mengenai tahap keselesaan di dewan tersebut, ia bukanlah seperti ramai orang gambarkan. Alangkah terkejutnya apabila beliau mengetahui keseluruhan dewan tersebut turut dilengkapi dengan penghawa dingin.
“Kipas atau penghawa dingin? Tak seperti yang orang gambarkan. Kat sini pakai penghawa dingin 24 jam. Sejuk dan selesa. Sakai jap tengok penghawa dingin dia ni,” ujarnya
Bagi sesiapa yang tertanya-tanya mengenai bagaimana solat dijalankan, solat jemaah telah dilakukan setiap waktu malah terdapat dua ruang disediakan bagi mendirikan solat. Bukan setakat itu, apabila masuk sahaja waktu solat, azan akan berkemundang di dalam dewan.
Pengalamam yang berharga
Walaupun telah disahkan positif COVID-19 dan sedang menjalani rawatan, beliau tetap menganggap perkara tersebut sebagai pengalaman yang amat bermakna.
“Alhamdulillah pengalaman saya setakat berada di MAEPS ini sangat selesa dan baik, saya berharap orang di luar sana terus mengikuti SOP supaya dapat hindarkan dari jangkitan ini terus merebak
“Apa yang kita lakukan bukan untuk kita sahaja tapi juga untuk keluarga, masyarakat dan semua orang. SOP perlu dijaga walaupun sesama keluarga dan kawan serumah sebab kita tidak tahu waktu bila kita hidapi penyakit tersebut, spread motivation not virus” kata beliau sewaktu mengakhiri perkongsiannya bersama kami.
0 Comments