Cinta Di Halang Hingga Tubuh Tinggal Rangka

Cinta Di Halang Hingga Tubuh Tinggal Rangka

 Pada 23 MEI 1901, pejabat guaman di Paris telah menerima sepucuk surat yang tidak tercatat nama pengirim. Isi kandungan surat itu memberitahu, ada seorang wanita yang dikurung dalam keadaan kebuluran di sebuah bilik bawah tanah sejak 25 tahun yang lalu.

Surat itu memeranjatkan pihak berkuasa Paris. Ini kerana rumah yang dikatakan lokasi wanita itu dikurung adalah milik Monnier, keluarga bangsawan yang terkenal dengan sifat pemurah mereka. Mana mungkin keluarga itu menyeksa apatah lagi mengurung orang di dalam rumah tersebut.

Penduduk setempat tahu, Madam Louise tinggal di rumah agam itu bersama anak lelakinya, Marcel Monnier, seorang lulusan sekolah guaman. Keluarga mereka begitu dihormati sehinggakan salah sebuah bandar di Paris dinamakan sempena nama keluarga mereka.

Penduduk juga tahu kisah anak gadis keluarga itu yang digambarkan sebagai gadis yang cantik dan periang, namun hilang secara misteri lebih kurang 25 tahun yang lalu.

Walaupun sukar percaya dakwaan surat layang itu, pihak polis tetap melakukan siasatan. Mereka datang ke rumah agam Monnier sebelum memecah masuk ke sebuah bilik yang didakwa menjadi tempat kurungan seorang wanita selama 25 tahun itu.

Seaik masuk ke dalam bilik tersebut, mereka terhidu bau busuk. Dalam bilik yang gelap tanpa sebarang pencahayaan, pasukan penyelamat melihat kelibat seorang wanita tanpa pakaian yang duduk di atas tilam jerami yang hampir reput.

Wanita itu tampak ketakutan. Badannya kurus kering, persekitarannya dipenuhi najis dan sisa-sisa makanan. Udara di dalam bilik sempit itu sangat busuk sehingga menyukarkan pasukan penyelamat untuk bernafas. Mereka segera mengangkat wanita malang itu keluar dari bilik kurungannya.

Keadaan Blanche sewaktu ditemui polis.

Wanita itu dibawa ke hospital. Doktor yang merawatnya meramalkan wanita itu tidak akan hidup lama. Sewaktu ditemui, berat wanita itu hanya hanya 55 paun.

Setelah disiasat, wanita itu rupa-rupanya Blanche Monnier, anak gadis keluarga itu yang dikatakan telah hilang secara misteri sejak sekian lama. Ibu dan abang kandungnya segera ditahan sebagai suspek utama.

Angkara Cinta Terhalang

Sewaktu siasatan dijalankan, satu persatu rahsia yang selama ini ditutup mula terungkai. Sekitar tahun 1876, ketika berusia 25 tahun, Blanche jatuh cinta dengan seorang peguam miskin. Terdapat juga dakwaan mengatakan Blanche mempunyai seorang anak hasil hubungannya dengan peguam tersebut.

Ibunya, Madam Louise menentang hubungan mereka kerana perbezaan darjat. Pertengkaran demi pertengkaran sering berlaku dalam keluarga itu, namun kedua-dua pihak tidak mahu mengalah. Akhirnya, Madam Louise dan anak lelakinya Marcel, merancang pelan untuk menghentikan hubungan cinta Blanche.

Blanche seorang gadis cantik dan periang sebelum dikurung kerana cintanya dihalang.

Pada asalnya, Blanche dikurung di dalam sebuah bilik dan hanya akan dilepaskan keluar jika dia setuju memutuskan hubungan dengan lelaki tersebut. Madam Louise yakin anak gadisnya pasti mengalah dan menurut permintaannya. Ternyata dia silap, Blanche tetap dengan keputusannya.

Masa berlalu, hari berganti hari, Blanche kini bukanlah seorang anak gadis seperti dahulu. Kekasih yang menyebabkan dia dikurung pula sudah meninggal dunia pada tahun 1885.

Sepanjang waktu itu, Blanche dikurung dalam bilik yang sempit dan kotor tanpa sedikit cahaya dapat menembusi ruang kamar bawah tanah yang menjadi ‘istana’nya itu. Peneman setia Blanche hanyalah tikus dan serangga.

Tempoh 25 tahun bukanlah jangka waktu yang pendek. Kerana itu apabila berjaya dibebaskan, Blanche kurang siuman. Mungkin kesan seksaan mental dan fizikal yang ditanggung bertahun-tahun lamanya.

Akhbar Perancis yang memaparkan kisah penemuan Blanche Monnier yang dikurung selama 25 tahun.

Abang Blanche, Marcel dalam kenyataan pembelaannya mendakwa Blanche mengalami masalah mental, sentiasa dalam keadaan marah dan berpotensi mencederakan diri sendiri. Namun ia disangkal beberapa orang saksi yang mendakwa sering terdengar suara rayuan minta dibebaskan dari bilik bawah tanah tersebut.

Penduduk setempat yang marah dengan perbuatan abang dan ibu Blanche menunggu di luar balai polis dengan menjerit kata-kata makian apabila melihat kelibat kedua-dua suspek.

Ibu Blanche bagaimanapun hanya ditempatkan di bilik sakit dalam penjara kerana menderita sakit jantung. Lima belas hari kemudian, ibunya meninggal dunia. Dia dikatakan hanya mengucapkan ‘Oh anakku Blanche’ berulang-ulang kali kepada doktor yang merawatnya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Marcel pula dibicarakan seorang diri kerana menjadi rakan subahat si ibu. Perbicaraan dijalankan pada 7 Oktober 1901. Empat hari kemudian, Marcel didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan kerana bersubahat. Hukuman itu dibantah banyak pihak yang menganggap ia terlalu ringan.

Marcel kemudiannya mengemukakan rayuan kepada mahkamah atas alasan, dia tidak pernah mendera secara fizikal adiknya itu dan hanya menurut perintah si ibu. Rayuannya diterima dan akhirnya dia dibebaskan dari penjara.

Siapa Pengirim Surat?

Tanda tanya siapa yang mengirim surat itu hingga membawa kepada penemuan Blance masih belum terungkai. Terdapat dua teori mengenai identiti si pengirim.

Ada pendapat mengatakan, Marcel sendiri yang mengirim surat tersebut kerana dia bimbang dengan usia ibunya yang semakin lanjut dan tidak mahu dipersalahkan atas apa yang berlaku.

Ada juga pendapat yang mengatakan surat itu dikirim oleh seorang askar yang pernah bekerja dengan keluarga Monnier. Dia mengirimkannya kerana kasihan dengan nasib yang menimpa Blanche. Namun, sehingga ke hari ini, identiti penyelamat Blanche masih kekal misteri.

Walaupun dikatakan bernasib baik kerana akhirnya dapat keluar dari kamar seksaan tersebut, Blanche tidak pulih sepenuhnya. Dia hanya berjaya menambah berat badannya, namun kekal kurang siuman sehinggalah dia meninggal dunia tahun 1913 di Hospital Psikiatri Blois, 12 tahun setelah diselamatkan.

Post a Comment

0 Comments