Rumah Berhantu Dah Di Beli Orang

Rumah Berhantu Dah Di Beli Orang

Rumah Berhantu Dah Di Beli Orang
KECOH di media apabila seorang wanita mendedahkan, dia dan suami diganggu dan berdepan pengalaman pelik selepas rumah disewa mereka di Shah Alam kononnya berhantu.
Pasangan itu mendakwa mereka hanya sempat tinggal beberapa bulan sahaja di kediaman tersebut kerana tidak tahan dengan gangguan diterima saban hari.
Peristiwa berkenaan dikongsi di media sosial selepas mereka berasa pelik kenapa sebuah rumah dua tingkat yang sudah diubahsuai dijual pada harga murah iaitu bawah RM500,000 masih tiada pembeli?
Akhirnya isteri pasangan itu mendedahkan, gangguan pelik termasuk bau setanggi di satu sudut tempat meletak berhala oleh tuan rumah menjadi punca rumah itu dikatakan tidak laku selepas dijual.

Enggan berdiam diri dengan dakwaan wanita tersebut, pemilik rumah berkenaan, Tamil Selvam Sinnaiah, 44, tampil menyangkal semua dakwaan bekas penyewanya itu kepada mStar.
Tidak tahu motif sebenar dakwaan dibuat wanita itu, Selvam memberitahu dia tidak pernah menganiaya sesiapa sebaliknya meminta pasangan suami isteri itu berpindah secara baik selepas beberapa bulan mereka menyewa di kediamannya.
Selvam tidak tahu motif sebenar dakwaan dibuat bekas penyewanya di Twitter.
Sebaliknya kata usahawan itu, dia terpaksa meminta pasangan itu pindah selepas mendapat aduan berterusan daripada jiran mengenai bau busuk kerana mereka membela kucing dalam jumlah yang banyak.
"Masa saya datang buat semakan, saya dapati ada 10 kandang kucing yang diletakkan di luar rumah selain bau busuk najis kucing yang tidak dibersihkan.
"Bukan sekali dua saya dapat aduan daripada jiran tetangga mengenai sikap lepas tangan pasangan berkenaan terhadap kucing-kucing yang mereka bela sehingga membuatkan saya meminta mereka segera berpindah.
"Saya minta mereka berpindah dengan cara baik... Saya beri alasan hendak jual rumah itu sebagai mengelak sebarang perbalahan namun pasangan itu minta tempoh dua ke tiga bulan untuk mengosongkan rumah," katanya.
Bagaimanapun, Selvam memberitahu dia terpaksa menolak permintaan pasangan itu dan akhirnya mereka akur berpindah.
"Sepengetahuan saya, penyewa keluar dengan cara baik. Tiada sebarang pergaduhan malah saya turut pulangkan wang deposit mereka sebanyak RM1,000," jelasnya.
Selvam membelanjakan RM150,000 untuk proses pengubahsuaian kediaman dua tingkat itu. 
Menjawab mengenai dakwaan rumahnya berhantu, Selvam mempersoalkan mengapa wanita itu memilih untuk menularkan perkara itu ketika dia sedang dalam proses menjual kediamannya.
Menganggap tuduhan itu sebagai fitnah, Selvam memberitahu selepas pasangan tersebut keluar rumah, rumah teres berkenaan disewa oleh orang lain dan mereka tidak pernah mengalami sebarang gangguan atau kejadian pelik sepanjang dua tahun menyewa.
"Saya masih tertanya-tanya apa motif dia menyebarkan cerita tidak benar mengenai rumah saya? Mengapa tidak selepas dia berpindah dahulu dia tularkan mengenai rumah itu berhantu?
"Mungkin dia berdendam saya tidak berinya tempoh untuk cari rumah lain atau mengetahui saya tidak jual rumah tersebut ketika itu sehingga sanggup membuat fitnah... Saya tidak pasti.
"Selepas dia berpindah, saya ada penyewa baru dan sepanjang dua tahun mereka tinggal, tidak pernah sekali pun kejadian pelik atau menyeramkan berlaku, berbeza dengan dakwaan pasangan berkenaan," katanya.
Sebagai langkah keselamatan, Selvam memberitahu dia turut membuat laporan di Balai Polis Taman Sri Muda Shah Alam pada Isnin terhadap fitnah yang dilemparkan wanita itu di Twitter.
Bilik utama yang diubahsuai.
Tidak mahu memanjangkan isu berkenaan, Selvam berharap orang ramai tidak mudah percaya dengan tweet berkenaan.
"Saya tidak mengharapkan wanita itu minta maaf pun cuma saya buat laporan polis sebagai perlindungan buat diri saya.
"Selebihnya biarlah Tuhan sahaja yang membalasnya. Saya percaya kalau kita buat baik dengan orang, pasti ada ganjaran baik untuk kita dan begitulah sebaliknya," ujarnya.
Tetap berterima kasih kepada wanita tersebut yang menularkan kisah rumahnya, Selvam memberitahu dia berjaya menjual rumah tersebut minggu lalu dan ia sedang dalam proses kelulusan pinjaman bank.
"Apabila baca komen pada tweet itu ada yang baik dan buruk... tetapi pada akhirnya saya tahu ramai yang sedar bahawa cerita yang disampaikan itu tidak masuk akal dan ada niat tidak baik.
"Tetapi tidak mengapa, pihak itu juga telah memberi publisiti dan hebahan mengenai rumah itu dan saya sudah pun menandatangani perjanjian pembelian minggu lalu," katanya yang menjual rumah itu dengan harga RM470,000.
Sebelum ini, Selvam turut membelanjakan RM150,000 bagi kerja pengubahsuaian kediaman empat bilik dan tiga bilik air itu.

Post a Comment

0 Comments