HASIL bedah siasat yang dijalankan terhadap Nora Anne Quoirin, mendapati punca kematian disebabkan kebocoran usus akibat tidak makan dalam tempoh panjang.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, remaja warga Ireland itu meninggal dunia dalam tempoh dua ke tiga hari sebelum mayatnya, ditemui 1.57 tengah hari kelmarin.
“Hasil bedah siasat oleh pakar patologi yang memakan masa 10 jam semalam mendapati Nora Anne mati dalam masa dua ke tiga hari sebelum ditemui.
“Punca kematian adalah disebabkan kebocoran usus kerana tiada makanan dalam tempoh panjang dan stress (tekanan) yang berpanjangan," katanya ketika sidang media di Seremban, hari ini.
Beliau berkata, tiada luka lain atau kesan jenayah pada mayat Nora Anne selain calar kecil pada kaki serta tiada kesan dirogol.
Kelmarin, mayat remaja itu ditemui oleh pendaki yang menyertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang dimulakan, selepas menerima laporan kehilangannya pada 4 Ogos lalu.
Proses bedah siasat mayat Nora Anne dilakukan bermula 11.45 pagi semalam dan selesai 9.25 malam tadi.
Bedah siasat dikendalikan Pakar Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siew Sheue Feng bersama Dr Hanif Mohammad dari HTJS selain dibantu pakar dari Jabatan Kimia.
0 Comments