NILAI: Remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15 tahun yang hilang sejak pagi Ahad lalu di sebuah pusat peranginan di pantai, Nilai, Negeri Sembilan dipercayai meninggalkan bilik penginapan dengan hanya memakai pakaian dalam.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop, ia berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh keluarga mangsa sendiri.
“Itu berdasarkan pada statement yang dibuat oleh keluarga dia. Masa dia tidur tu mungkin dia tak pakai baju.
“Itulah kenyataan berdasarkan pengesahan berdasarkan ibu bapa sahaja, kita tak tahu dia tak pakai baju atau tidak sebab yang kali terakhir melihatnya pun keluarga dia sahaha,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohamad turut mengalu-alukan sebarang bentuk maklumat daripada orang awam berhubung gadis hilang ini termasuk pelbagai dakwaan mistik.
Jelasnya, pihak polis amat memerlukan bantuan orang awam terutamanya masyarakat Orang Asli kerana kawasan sekitar merupakan kawasan sepermainan mereka.
Terdahulu, polis telah melipat gandakan usaha dengan menambah anggota dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) gadis berkenaan yang dilaporkan hilang dari rumah penginapan ketika bercuti dengan ahli keluarganya di resort The Dusun Pantai Hill di sini, pagi Ahad lalu.
Remaja itu disedari hilang jam 8 pagi selepas didapati tiada di biliknya oleh keluarganya.
Polis sebelum ini juga menafikan kehilangan gadis itu berkait dengan unsur jenayah dan kes itu masih dibawah klasifikasi sebagai orang hilang, memandangkan tiada sebarang elemen unsur jenayah.
0 Comments