KEHILANGAN remaja perempuan warga Ireland yang dikenali sebagai Nora Anne Quoirin, sejak Ahad di resort The Dusun di Nilai, Negeri Sembilan bukan sahaja menimbulkan minat kalangan pengamal media baik tempatan mahupun antarabangsa, bahkan turut menimbulkan tanda tanya.
Pelbagai persoalan membelenggu penduduk setempat yang hairan dengan kemampuan remaja berusia 15 tahun itu, yang juga anak istimewa, untuk berada jauh daripada resort itu selain menyifatkan ia adalah pertama kali berlaku di kawasan resort berkenaan.
“Kes orang hilang di resort ini adalah kali pertama kerana sebelum ini kalau dengar pendaki Gunung Berembun hilang, ia kes biasa. Sepatutnya kalau dia anak istimewa, tak jauh dia boleh pergi,” kata Tok Batin Kampung Kolam Air Pantai Ali Ngongor, 56, kepada Bernama di Nilai, Isnin.
Beliau yang turut menyertai operasi mencari remaja itu berkata adalah mustahil mangsa mampu mendaki hutan yang tebal di situ dalam keadaan dirinya yang sebegitu, apatah lagi bertahan dalam tempoh yang agak lama.
“Tetapi tak mustahil juga ada unsur mistik. Resort ini memang tak ada pemantau, semuanya atas risiko sendiri,” katanya.
The Dusun yang terletak 16km dari bandar Seremban adalah resort alam semula jadi persendirian yang bermula dengan sebuah dusun durian sebelum ditanam dengan pelbagai jenis pokok dan dibangunkan sebagai resort dan dibuka kepada orang ramai pada 2009 bermula dengan dua chalet.
Resort The Dusun di Nilai, Negeri Sembilan
Mohd Syawaluddin Mohd Zin yang bekerja dengan agensi media antarabangsa berkata berita kehilangan Nora Anne menarik minat masyarakat luar untuk mengetahui perkembangannya.
“Apatah lagi dia merupakan anak istimewa,” katanya ringkas dan memaklumkan dia perlu berulang alik dari Kuala Lumpur ke sini untuk membuat liputan.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian berkata setakat ini kekuatan anggota mencari dan menyelamat remaja itu telah meningkat kepada 168 berbanding 159 anggota, pagi Isnin.
“Satu unit Senoi Praak turut telah digerakkan dalam SAR ini dan setakat ini belum ada sebarang petunjuk dan tiada sebarang unsur jenayah,” katanya sambil menambah bahawa kawasan pencarian kini diperluaskan meliputi 12km dari resort berkenaan.
Senoi Praaq adalah unit yang unik dalam PDRM dan pemilihan anggota diambil 100 peratus daripada suku kaum Orang Asli dan digelar sebagai Malaysia’s Killer Elite kerana mahir dan berpengalaman dalam selok belok perperangan di hutan.
Unit elite Senoi Praq seringkali digerakkan dalam kawasan yang memerlukan kepakaran bagi mengesan jejak selain berbagai operasi lain.
Sementara itu, Pengerusi Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon memaklumkan usahanya untuk bertemu dengan keluarga mangsa tidak kesampaian apabila mereka tidak bersedia menerima tetamu.
“Saya sudah cuba menyantuni ibu bapa remaja perempuan Irish yang hilang itu tetapi mereka tidak mahu jumpa sesiapa sekarang,” katanya.
Tinjauan Bernama juga turut mendapati terdapat beberapa pelancong asing turut membantu mencari remaja berkenaan di kawasan sekitar selain pemantauan daripada udara turut dilakukan PDRM.
Pada Ahad, media melaporkan remaja berkenaan disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di sini oleh keluarganya pada 8 pagi.
Keluarga mangsa juga memaklumkan bahawa remaja perempuan itu mengalami masalah pembelajaran. - Bernama
0 Comments