JIKA berbual dengan rakan-rakan yang pernah tinggal di hostel sama ada ketika di bangku sekolah atau pun universiti pastinya topik mistik akan muncul.
Boleh dikatakan masing-masing mempunyai pengalaman tersendiri atau pun ada kenalan yang pernah berhadapan dengan situasi menyeramkan.
Itu juga yang berlaku kepada Khey Amir ketika menetap di sebuah kolej apabila katil yang digunakannya mempunyai kisah misteri yang tidak terungkai.
Cerita Khey, dia pada awalnya tidak mengambil endah apabila seorang pelajar senior terkejut sebaik sahaja mengetahui dia menggunakan katil dalam sebuah dorm kerana sudah lama katil itu tidak berpenghuni.
"Bila aku letak sahaja beg dan barang-barang dalam locker seorang senior dalam bilik itu tegur sama ada benar aku menggunakan katil tersebut kerana sudah lama tiada siapa menggunakannya.
"Namun aku tak fikir sangat maksud di sebalik kata-katanya itu," katanya.
Kelibat yang berjaya dirakamkan membuatkan semua lari lintang pukang.
Penampakan kelibat menyerupai hantu pocong yang berjaya dirakamkan dalam video di sebuah hostel. Foto TWITTER @khey.amir
Kelibat berikat, bau busuk himpit atas katil
Sehinggalah satu malam kata Khey, dia keseorangan dalam bilik kerana rakan-rakannya keluar bermain futsal dan bahagian atas katilnya bergoyang seperti ada seseorang sedang menggerakkan badan.
Enggan berfikir negatif, dia hanya membiarkannya sahaja sehinggalah tiba-tiba ada seseorang merapatinya dan berbau hanyir.
"Aku ingatkan kawan bilik aku dah balik main futsal... Aku pun marah sebab dalam keadaan busuk terus naik ke katil dan baring di sebelah aku.
"Aku memang tak perasan sebab ketika itu bilik dalam keadaan gelap jadi tak nampak kelibat kawan aku itu.
"Marah punya pasal aku cuba tolak dia tetapi tubuh di sebelah aku itu langsung tak berganjak dan berbau busuk," katanya.
Khey memberitahu dia cuba menyuluh kelibat di sebelahnya menggunakan lampu dari telefon bimbitnya dan hairan apabila rakannya itu seperti berbungkus dari kaki ke badan!
"Apabila aku suluh ke arah muka memang terkejut dan terus tak sedar sehingga ke pagi dan apabila tersedar badan aku berbirat-birat.
Katil milik Khey yang sebelum ini tidak berpenghuni.
"Barang-barang yang aku gantung dekat tepi katil semuanya bersepah sebelum aku nampak kawan-kawan aku sudah berkumpul di keliling aku dan bertanya sama ada aku okey atau pun tak.
"Mula kawan-kawan semua tak nak beritahu apa yang berlaku namun akhirnya mereka cerita sewaktu mereka pulang main futsal mereka lihat aku menangis di atas katil sambil ketawa," jelasnya.
Pun begitu kata Khey, dia agak kecewa apabila tiada seorang pun yang percaya dengan kejadian menimpanya.
Kelibat menyerupai 'Pocong' berjaya dirakam
Bagaimanapun kata Khey, tiga bulan selepas kejadian itu, ceritanya mengenai penampakan kelibat seperti pocong itu turut dapat dilihat oleh rakan-rakannya dalam satu kejadian ketika mereka sedang menghadapi peperiksaan akhir.
Ketika itu mereka semua berkumpul di luar pintu bilik kolej untuk memasang lilin sebelum tiba-tiba kelibat itu muncul di belakang rakannya.
"Kebetulan ketika itu aku sedang merakamkan situasi itu dan apabila kelibat itu mereka dapat lihat sendiri barulah mereka percaya.
"Sehingga hari ini aku simpan video itu dan patutlah katil aku itu tak lama ada orang duduk kerana ada kisahnya," katanya.
0 Comments