Tak sangka kaki putus selepas suka-suka bergambar di parkir OKU

Tak sangka kaki putus selepas suka-suka bergambar di parkir OKU

Tak sangka kaki putus selepas suka-suka bergambar di parkir OKU

PETALING JAYA: Gambar pertama yang dimuat naik di media sosial milik seorang gadis menunjukkan kaki kanannya putus di bahagian buku lali akibat kemalangan jalan raya dan nyata ia meruntun emosi sesiapa saja yang melihatnya.

“Masa ni dah reda. Tak mampu nak nangis. Malam tu juga bedah, potong sampai betis. Jadi anda semua, kalau nak jalan-jalan di mall, ajaklah aku, senang nak parking nanti,” katanya menerusi laman sosial Instagram, cuba menceriakan keadaan, namun dalam hati siapa yang tahu luka yang terpendam.



Elia Nurul Syahida Nasruddin. Foto Instagram elianurul

Turut mengundang perhatian netizen sehingga tular apabila gadis yang lebih dikenali sebagai Elianurul memuat naik gambarnya berdiri di tempat letak kereta yang dikhususkan untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

“Kali terakhir bergambar masa balik kampung sebelum kemalangan. Lepas ni boleh parking (parkir) dah kat situ, tak kena saman. Lain kali nak ambil gambar kat kereta mahal pula. Mana tahu dapat kereta itu,” katanya. 



Gadis berkenaan yang baru berusia 22 tahun itu memberitahu, insiden yang berlaku pada pagi 20 September lalu semasa dalam perjalanan dari rumah sewa ke tempat kerja di Putrajaya, membabitkan sebuah kereta.

Dalam kejadian itu, motosikal yang ditunggang Elia Nurul Syahida Nasruddin melanggar tiang sebelum tercampak sejauh kira-kira dua meter. Akibat kejadian itu, Elia dimasukkan ke hospital selama seminggu untuk mendapatkan rawatan, dan bahagian kakinya yang terputus terpaksa dipotong sehingga ke paras betis.

“Hanya Allah saja yang tahu perasaan saya masa lihat kaki terputus di lokasi kejadian. Rasa kaku, tergamam. Terdetik di hati dalam keadaan masih sedar itu, ‘Ya Allah apa yang aku nak buat selepas ni.

“Tapi saya cuba berfikiran positif, buat apa nak meratap nak meraung pun. Bukannya boleh tumbuh balik kaki tu. Saya harus tabah dengan ketentuan Allah,” kata anak kelahiran Ampang, Selangor ini kepada mStar Online.




Elia yang kini menetap di Segamat, Johor memberitahu, dia bersyukur kerana mendapat sokongan keluarga dan teman-teman, sekali gus memberikan semangat kepadanya untuk berfikiran positif.

Mengenai perkongsian luahannya di laman sosial, anak kedua daripada tiga beradik ini mahu mewujudkan persekitaran yang lebih ceria untuk diri sendiri dan orang sekeliling.
“Kalau saya sedih lama-lama, nanti lagi lambat saya nak berjalan. Saya tak nak ambil perkara ini terlalu serius, cukuplah reda dengan apa yang menimpa diri saya.

“Apa yang dikongsi itu ada banyak sebab, mahu dijadikan pengajaran dan berjenaka dalam suasana gembira dan ceria, bergantung kepada penerimaan bagi mereka yang membacanya,” katanya.

image: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/10/01/reda-putus-kaki/~/media/b777e3c3a8854eb389e78fc64a71c2f9.ashx?la=en


Elia yang menyambung pengajian separuh masa di peringkat Ijazah Sarjana Muda jurusan landskap di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mahu menjelaskan bahawa gambar di parkir OKU itu yang diambil pada awal bulan lalu beberapa minggu sebelum kemalangan itu bukan dikatakan sebagai ‘punca’ dia kehilangan sebahagian kaki kanannya.

Katanya, pada awalnya dia mahu bergambar bagi menunjukkan belakang perkataan yang tertera di belakang bajunya, dan kebetulan lokasi di parkir OKU.

“Saya sekadar ambil gambar suka-suka saja nak tunjuk baju. Tak sangka bergambar di situ mungkin sebagai petanda. Tapi kalau perkara nak jadi, tak bergambar di parkir OKU akan tetap jadi. 

“Semuanya adalah ketentuan Allah, saya reda. Lebih baik saya terus maju ke hadapan dan perkongsian saya ini diharapkan dapat memberi semangat dan inspirasi kepada orang lain,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang arktitek profesional.




Pelakon Arash Mohamad (dua, kiri) antara yang memberikan sokongan kepada Elia (tengah). Arash antara yang membantu Elia di tempat kejadian.

Sehubungan itu kata Elia, tumpuannya kini untuk cepat sembuh dengan menjalani latihan fisioterapi agar dapat berjalan semula, meskipun menggunakan kaki palsu.

“Teruskanlah melangkah. Kalau saya nak mengubah sesuatu, saya tak boleh putus asa,” kata Elia yang tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak memberi sokongan dan semangat.

Post a Comment

0 Comments