Calon PT3 Bunuh Diri Tinggal Nota Terakhir

Calon PT3 Bunuh Diri Tinggal Nota Terakhir

Mayat pelajar perempuan tingkatan tiga yang ditemukan mati berhampiran kolam renang di Lebuh Sungai Pinang.

GEORGE TOWN: "Minta maaf mak kerana buat mak susah hati dan marah.

"Orang rambut putih akan hantar org rambut hitam pergi. Ini adalah salah saya sebab itu mak tak payah susah hati.

"Selepas saya pergi, mak sembang dengan dia untuk bercerai sebab saya tidak ingin tengok mak menangis kerana dia.

"Mak, saya pergilah."

Demikian curahan hati seorang pelajar perempuan tingkatan tiga dalam satu nota sebelum ditemukan mati berhampiran kolam renang di Lebuh Sungai Pinang, Pulau Pinang hari ini.

Pelajar berkenaan yang sepatutnya menduduki ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) hari ini dipercayai terjun dari tingkat 11 rumahnya sebelum mayatnya dijumpai pekerja pembersihan kira-kira jam 8 pagi tadi.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati mangsa dikatakan merajuk dengan ibunya dan meninggalkan nota mahu membunuh diri.


Nota itu menjelaskan punca pelajar berkenaan membunuh diri adalah kerana campur tangan orang ketiga dipercayai ayah tirinya yang menyebabkan ibunya sering menangis.

Nota itu juga menyebut agar ibunya berbincang dengan orang itu untuk bercerai kerana tidak mahu lagi melihat ibunya menangis.

Ibu mangsa yang terkejut dengan kejadian itu tidak menyangka anaknya benar-benar bertindak sedemikian.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kes masih dalam siasatan polis.

Post a Comment

0 Comments