Nooryana semasa kecil (kanan) dipangku oleh ibunya, Rosmah. Foto Instagram yananajib
PETALING JAYA: Penahanan Datin Seri Rosmah Mansor ketika disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada petang Rabu mengundang kesedihan anak perempuannya, Nooryana Najwa Najib.
Anak Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata, dia masih boleh menerima tindakan yang diambil terhadap bapanya yang sebelum ini sebagai bekas perdana menteri itu tetapi jika ia membabitkan beberapa wanita di dalam hidup pemimpin negara itu dianggap keterlaluan.
Jika dua minggu lalu, kediaman neneknya, Tun Rahah Mohammad Noah diserbu polis, dan kali ini Nooryana berkata, ibunya pula ditahan dan didakwa pada hari sama sebutan semula kes pendakwaan terhadap Najib di mahkamah pada Khamis.
“Saya menjangkakan esok memberikan ‘gambar yang cantik’ dengan liputan media secara besar-besaran,” luah Noryana secara sinis di laman sosial Instagramnya pada petang Rabu, dengan memuat naik gambarnya semasa kecil dipangku oleh Rosmah.
Rosmah di ibu pejabat SPRM, Putrajaya pada pagi Rabu. Foto AZHAR MAHFOF/The Star
Nooryana yang kini berada di Amerika Syarikat menerima panggilan berhubung penahanan ibunya pada kira-kira pukul 4 pagi waktu tempatan.
“Terlalu sedih untuk menangis, terlalu marah untuk menjerit. Saya baru bangun, ambil wuduk dan bersolat tahajud untuk Mummy (panggilan ibu buat Rosmah).
“Saya berdoa agar Mummy tenang dan tabah kerana mengenalinya, beliau seorang yang mungkin risau mengenai semua orang di rumah.
“Mummy, walaupun kamu mungkin tidak dengar (luahan ini), ingin diberitahu saya dalam keadaan baik,” katanya sambil berharap ibunya makan dan berehat pada malam menjelang pendakwaan di mahkamah pada Khamis.
Tanpa mengira betapa sukarnya keadaan yang dialami ketika ini, Nooryana berkata, dia akan sentiasa memberi sokongan penuh kepada ibunya.
“Saya akan sentiasa bersama wanita yang melahirkan saya, yang menyapu air mata saya di kala bersedih, yang tidur bersama saya bila saya sakit dan yang mengajar saya tentang bagaimana untuk berdiri di atas kaki sendiri. Seperti yang kamu katakan pada pagi ni Mummy, insyaAllah, kita akan bertabah,” ujarnya.
Luahan Nooryana di laman sosial Instagram, susulan penahanan ibunya oleh SPRM.
Rosmah ditahan SPRM sewaktu memberi keterangan di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya pada kira-kira pukul 3.20 petang Rabu.
“Susulan itu, Rosmah akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001," menurut kenyataan SPRM pada petang Rabu.
Tambah kenyataan itu, Rosmah akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pukul 8 pagi Khamis untuk pertuduhan tersebut.
Terdahulu, Rosmah yang berbaju kurung dan selendang hijau hadir ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya untuk diambil keterangan buat kali ketiga.
Nooryana, anak perempuan Najib.
Kali pertama beliau hadir di SPRM pada 5 Jun lalu bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pada 26 September lalu, Rosmah sekali lagi dipanggil oleh SPRM dan memberi keterangan hampir 13 jam.
Najib pada 4 Julai lalu didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dan pada 8 Ogos lalu, dia mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama dan dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta dan kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Oktober.
0 Comments