KUALA LUMPUR: Enam penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) yang lemas, diikat pada satu tali ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali berkata ia merupakan prosedur operasi standard (SOP) unit berkenaan termasuk lengkap dengan memakai peralatan menyelam ketika SAR.
Beliau berkata pasukan berkenaan turun ke lombong tersebut pada pukul 9.15 malam Rabu dalam keadaan hujan renyai bagi mencari dan menyelamat seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam lombong tersebut ketika memancing bersama dua lagi rakannya.
“Tiba-tiba air deras berlaku di kawasan itu menyebabkan kesemua mangsa berpusing-pusing di dalam air serta menyebabkan peralatan menyelam mereka tertanggal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau berkata kesemua mangsa bergelut kira-kira 30 minit, dengan anggota di darat segera cuba membantu menaikkan mereka ke tebing.
Abdul Aziz berkata kesemua mereka kemudian berjaya ditarik ke tebing namun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Beliau berkata pasukan perubatan yang berada di lokasi cuba memulihkan mangsa dengan melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) namun tidak berjaya.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata operasi mencari dan menyelamat remaja terbabit ditangguhkan ke 7.30 pagi ini, yang akan membabitkan Pasukan Polis Marin dari Pelabuhan Klang.
Dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dan empat dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang meninggal dunia dalam tragedi itu.
Mereka dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang.
Dua lagi mangsa adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang dikenal pasti sebagai Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25. - BERNAMA
Sementara itu, Shamiza Salleh, 32, isteri seorang daripada mangsa, Adnan, berkata beliau menerima panggilan mengenai kejadian menimpa suaminya pada 11 malam.
"Saya dimaklumkan mengenai kejadian ini oleh kawan dia (Adnan). Ketika itu saya berada di rumah," katanya.
Shamiza, bagaimanapun tidak dapat bercerita lanjut kerana terlalu sedih. - Bernama
0 Comments