PETALING JAYA: Sudah empat tahun insiden kehilangan pesawat MH370 menggemparkan dunia, namun impaknya masih dapat dirasai oleh rakyat di negara ini, terutama ahli keluarga dan rakan mangsa.
Realiti ini jelas, apabila anak kepada ketua pramugara MH370 itu sendiri, Maira Elizabeth Nari memuat naik posting di laman Twitter yang 'menjentik' hati netizen.
Menerusi perkongsiannya pada Khamis, dia mengimbas kembali detik sekitar empat tahun lalu ketika kali terakhir bertemu bapanya, Andrew Nari.
Tweet Maira mengenai bapanya, Andrew Nari ternyata menarik perhatian pelayar Twitter.
Bercakap kepada mStar Online, Maira mengakui tidak menyangka perkongsian itu akan mendapat perhatian ramai sehingga menerima lebih 12,000 ulang kicau (retweet).
"Sewaktu saya baca beberapa perkongsian orang lain mengenai kehilangan adik beradik dan ibu-bapa secara tiba-tiba, lama-lama saya jadi sedih dan kebetulan semalam memang teringatkan bapa saya.
"Jadi saya pun kongsi kisah dan pengalaman saya. Tak terlintas pun ramai yang akan retweet.
Sejujurnya saya ingat orang dah tak kisah pasal ni," katanya ketika dihubungi, Jumaat.
Bercerita lanjut mengenai tweet itu, Maira mengakui perasaan menyesal masih menyelubungi dirinya kerana tidak menghantar bapanya ke lapangan terbang pada malam 7 Mac 2014 walaupun diajak, sebelum MH370 dilaporkan hilang awal pagi keesokan harinya.
Malah, dia sama sekali tidak menyangka detik itu menjadi pertemuan terakhir mereka.
"Sebenarnya nak ikut pergi hantar, tapi hari tu sangat penat kerana saya bekerja secara sambilan, masa tu sedang tunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Menyesal, tapi tak terlintas akan jadi macam tu sebab dah biasa dia pergi kerja. Kebetulan kalau ada kat rumah saya ikut. Kalau tak, mak dan adik akan hantar dia.
"Meremang pula bulu roma bila teringat balik. Saya harap orang lain tak ulangi kesilapan sama, sebab kita tak tahu bila orang tersayang akan pergi," jelasnya lagi.
Foto kenangan Maira bersama bapanya, Ketua Pramugara MH370, Andrew Nari.
Menurut Maira yang kini sedang meneruskan pengajian secara sambilan dalam bidang perniagaan dan pengurusan, dia sudah lama menerima hakikat mengenai pemergian bapanya itu.
Namun, harapan untuk kesemua penumpang MH370 pulang tidak pernah lenyap dari kamus hidupnya.
"Sejujurnya tak tahu macam mana, nak doa untuk orang meninggal tapi kalau masih hidup macam mana? Nak doa orang hidup tapi kalau dah meninggal macam mana?
"Pada akhirnya, saya hanya berdoa agar semua OK, sihat dan bahagia sahaja.
"Sewaktu tahun pertama dan kedua selepas insiden itu, saya ada hantar mesej pada nombor telefon bapa saya, sekarang dah tamatkan nombor itu dan saya cakap dalam doa je, tapi rasa tak puas," ujarnya.
Sementara itu, Maira turut menzahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang menyokong mereka sejak hari pertama insiden itu berlaku.
Biarpun pelbagai teori mengenai insiden itu telah dikemukakan, ia masih lagi menjadi misteri terbesar dalam dunia penerbangan.
Katanya, dia tidak menyangka kejadian itu masih mendapat perhatian walaupun ia sudah lama berlalu.
"Kisah orang lain di Twitter saya jadikan peringatan. Tapi kalau nak kata jadi lebih kuat tu tak ada sebab saya dah memang kuat sangat.
"Tapi menarik apabila tahu ramai lagi sebenarnya lalui perkara sama. Apa pun terima kasih, tak sangka orang di luar sana masih berharap semua penumpang MH370 akan kembali," katanya lagi.
0 Comments