Usai Big Stage, Syafiq Farhain terus memulakan penggambaran filem pertamanya berjudul Hero The Movie.
Filem yang mengisahkan kehidupan bomba itu akan turut dibintangi oleh Mark Adam, Bell Ngasri, Tauke Jambu dan Hisham Hamid.
“Dalam filem ini saya melakonkan watak sebagai seorang penyelia, kalau realitinya saya cuma pegawai biasa tapi dalam filem ini naik pangkat sikitlah.
“Bila sebut nama senarai pelakon, mesti semua boleh agak filem ini bergenre komedi.
“Sebagai pendatang baharu, semestinya saya perlu berguru dengan pelakon yang lebih otai dan berbakat.
“Saya pula tak pernah berlakon atau keluar televisyen, sekadar berlakon dalam muzik video bolehlah…
“Ini filem besar, banyak lagi perlu saya belajar,” katanya ketika ditemubual HLive.
Big Stage baru-baru ini menyaksikan Syafiq menduduki tangga kedua selepas Sarah Suhairi.
Untuk berita hiburan yang padat dengan informasi, jangan lupa saksikan HLive! yang bersiaran pada setiap Isnin hingga Sabtu pada jam 8.30 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).
Sumber: Gempak
Kami dah lama berbaik – Syafiq Farhain
“PADA saya, yang lepas itu biarlah lepas. Ramai pihak tak tahu perkara sebenarnya. Ada juga yang tak tahu, tapi buat-buat tahu.
“Jadi, terpulanglah pada sesiapa untuk buat andaian. Tapi apa yang sebenarnya terjadi itu memang antara kami sahaja yang tahu.
“Alhamdulillah…hubungan kami sekarang tiada masalah dan tiada apa-apa saya nak komen,” ujar penyanyi Syafiq Farhain yang ditemui ketika melawat ayahnya, Saleem yang di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur, hari ini.
Penyanyi kumpulan Iklim ini yang terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 20 September lalu, dipindahkan dari Hospital Kajang ke PPUKM, petang Sabtu lalu.
Syafiq, 24, bukan hadir bersendirian kerana lawatan itu turut disertai adik beradiknya yang datang dari Terengganu iaitu abangnya Nurluqman Hakim, 30, dan adik bongsunya Nurul Azwanie Shuhada, 18.
Turut serta, kakaknya, Nurul Hidayah, 28, yang tinggal di Kuala Lumpur. Seorang lagi abangnya, Nurfahmie Jufrie, 26, yang tinggal di Terengganu tidak dapat hadir kerana menemankan isteri sarat mengandung.
Syafiq mengakui krisis berlaku membabitkan dia, ibu tirinya, Juriah @ Julia Bachok dan bapanya sudah selesai dan hubungan kekeluargaan mereka sudah kembali bertaut.
“Saya jenguk abah sejak hari pertama dia dimasukkan ke Hospital Kajang dan ketika tular berita palsu mengatakan abah meninggal pada tengah malam hari kedua, saya memang berada di sana.
“Depan mata saya sedang tengok abah dan memang saya bengang apabila dia dikatakan meninggal dunia.
“Saya ibarat penghubung adik beradik dengan ‘aunty’ Ju dan abah. Selain itu, saya merujuk sesuatu perkara dengan abang Khairul Nizam (anak tiri Saleem) sekiranya tak sempat jenguk abah,” katanya.
Syafiq menyifatkan kehadiran adik beradiknya satu perkara positif dalam keluarga mereka.
“Alhamdulillah…siapa yang tak mahukan perkara baik-baik. Pendek kata apa yang berlaku ada hikmahnya,” katanya.
Sementara itu, Nurluqman ketika ditemui mengakui puas hati dapat melihat sendiri keadaan sebenar ayahnya.
“Kami sangat terkejut apabila tersebar tular mengatakan abah meninggal dunia. Bagaimanapun kami kerap berhubung dengan Khairul Nizam untuk dapatkan cerita sebenar.
“Kami datang dari Setiu dan rasa bersyukur lihat keadaan abah agak stabil. Alhamdulillah nampak ada perubahan positif padanya.
“Sebenarnya ini bukan kali pertama kami berjumpa abah kerana ketika dia dimasukkan ke hospital ini dahulu, kami sudah datang melawatnya,” katanya.
Nurluqman turut mengakui Julia menyambut kehadiran mereka tanpa sebarang masalah.
“Layanan pun bagus dan ‘aunty’ juga okay terima kami. Biasalah, mungkin orang beranggapan yang lain, tapi setakat ini hubungan kami amat baik,” katanya.
Sumber: Metro
0 Comments