SIAPA BERKERUSI RODA DI TENGAH MALAM DIHOSPITAL MERSING?
SERAM : HOSPITAL MERSING (PART 0)
Hospital Mersing, atau nama asalnya Rumah Sakit Mersing adalah sebuah hospital daerah yang dibina pada tahun 1917. Bermakna, bangunan asal hospital ini telah menjangkau umur 100 tahun.
Bangunan se-tua ini pasti telah menjadi saksi pelbagai peristiwa sepanjang kewujudannya. Tak mustahil memori yang terpahat dalam dinding-dinding dan lantai bangunan ini.
Antara bangunan asal hospital ini adalah pejabat pentadbiran lama, dan wad 3. Bangunan pejabat pentadbiran lama kini digunakan sebagai Pejabat Kesihatan Daerah Mersing. Wad 3 pula, masih beroperasi sehingga kini.
Kali pertama aku pergi hospital yang terletak di pinggir pantai ini, adalah sewaktu melawat kawan se-universiti aku, Dr Yazeed. Ketika itu dia baru di pindahkan ke sana, sekitar 2011/2012(tak berapa ingat). Dia kata, ada benda yang nak diceritakan pada aku.
Aku sampai di Hospital Mersing dah lewat, sekitar jam 8 malam. Kononnya, nak terus pergi lepak makan dengan si Yazeed. Rupanya bila aku telefon dia, dia kata dia oncall hari itu. Aduh! Inilah jadinya bila pergi nak jumpa orang, tapi tak rancang awal-awal.
“OK macam ni, kau datang ED(Jabatan Kecemasan) hospital, ambil kunci rumah sewa aku, pastu kau letak barang dulu. Malam nanti kalau hospital tenang, kita pi minum.” kata Yazeed dalam telefon.
Walaupun aku tahu, memang mustahillah dia nak keluar hospital semasa oncall, aku iyakan sahaja cadangan dia. Gila nak keluar. Waktu malam, satu hospital tu dia seorang yang jaga. Kalau ada apa-apa kecemasan berlaku di hospital masa dia tak ada, macam mana?
“Ini kunci pintu depan. Kau pakailah bilik sebelah ruang tamu. Rumah sepah sikit, aku tak sempat kemas. Lagi satu, lampu dapur rosak. Aku belum panggil orang baiki” pesan Yazeed semasa hulur kunci rumah sewa pada aku.
Rumah sewa si Yazeed ni, aku mati-mati ingat di kuaters hospital, rupanya di kuaters JKR. Tak tahulah macam mana dia boleh dapat rumah sewa di sana. Rumah ni nak kata rumah lama sangat tu taklah, tapi masa aku tengah buka kunci rumah, terus ada aura macam rumah tua.
Buka sahaja pintu, aku dijemput dengan bunyi macam radio rosak. Bila aku jengah kedalam, aku dapati TV tak dimatikan. Diskrin cuma ada statik. Suara pula dibuka maksimum. AKu geleng kepala sahaja. Mesti mamat tu lupa tutup TV sebelum keluar pergi kerja pagi tadi.
Aku terus masuk, buka lampu ruang tamu dan tutup TV. Bila TV tu mati, rumah tu jadi senyap sunyi, kecuali bunyi keriuk pintu di kawasan dapur. Aku terus toleh ke dapur. Daripada tempat aku berdiri tu, aku nampak bilik air. Pintunya ternganga, dan kelihatan cahaya meremang keluar dari bukaan pintu itu.
“Eh, gila apa mamat ni pergi kerja semua benda tak tutup. TV htak tutup. Lampu tak tutup” gumamku sambil melangkah ke tandas untuk padam lampu bilik air. Aku ni memang pantang lihat orang bazir elektrik.
Klik! Lampu bilik air terpadam sebaik sahaja aku matikan suisnya.
“..lampu tak tutup”
Meremang terus bulu roma di tangan dan muka aku bila aku dengar suara dari dalam bilik air yang kini dah gelap tu. Sebelum aku matikan lampu, aku pasti tiada sesiapa di dalam tu. Apa buatkannya lebih seram, suara tu mirip macam suara aku.
Tak berlengah. Aku terus lari keluar rumah dan lompat dalam kereta, dan terus pergi ke hospital. Laju dan kuat gila jantung aku bergedup, sambil ketar tangan. Cuak gila. Masa aku memandu ke hospital pun, tak habis lagi meremang.
Sampai depan hospital, aku cuba telefon Yazeed. Sebenarnya aku tak tahu kenapa aku pergi hospital. Mungkin sebab Yazeed je orang aku kenal dekat Mersing masa tu.
“Nombor yang anda dail sedang sibuk, sila tinggalkan mesej selepas...”
“Aduh! Time-time ni lah kau nak sibuk.” keluh aku. Aku lihat jam. Masa tu dah jam 2 pagi. Setelah 2-3 kali aku panggilan aku dilencongkan mel suara, aku ambil keputusan untuk cari sahaja si Yazeed tu dalam hospital.
Aku pun masuk dalam perkarangan hospital, dan pergi ke Jabatan Kecemasan untuk cari Yazeed. Biasanya doktor oncall akan duduk di sana.
“Awak nilah kawan Dr Yazeed tu eh? Dia pergi Wad 3.” kata jururawat. Entah apa si Yazeed tu cerita pasal aku pada staff hospital ni.
“Wad 3 dekat mana?” soal aku. Aku tak pernah pergi Hospital Mersing, jadi aku tak tahu di mana letaknya komplek wad di hospital ni.
“Ambil korridor ni, terus je. Nanti wad 3 tu belah kanan. Jangan terlajak. Kalau terus sana, sampai rumah mayat” jelas jururawat tu sambil gelak kecil.
Aku tengok korridor tu. Malap. Kiri kanannya gelap. Angin pula menderu-deru. Desiran angin tu buatkan aku terngiang balik suara dalam tandas tadi. Timbul rasa menyesal aku datang sini. Selama ni aku bayangkan Hospital Mersing ni tenang dan santai sebab tepi pantai, rupanya aku silap. Malam-malam hospital ni menyeramkan.
Sambil aku berjalan menuju ke arah Wad 3, aku cuba telefon Yazeed sekali lagi. Mata aku melilau ke kiri dan kanan. Suasana gelap, namun boleh nampak pokok-pokok besar di perkarangan hospital bergoyang-goyang di tiup angin. Lain macam angin malam tu, macam nak ribut pun ada. Aku jalan laju-laju.
“Nombor yang anda dail...”
Dengar je suara tu, aku terus turunkan telefon dari teliga dan matikan panggilan. Lepas itu, aku pandang semula ke hadapan dan langkah aku jadi perlahan. Nun di hujung koridor, ke arah yang jururawat tadi kata terletak rumah mayat, ada kerusi roda.
Kerusi roda tu dalam 15 meter dari tempat aku berdiri. Di atas tempat duduknya macam ada benda. Warna putih. Macam mangkuk terlungkup. Bila aku tengok betul-betul, macam kopiah pun ada. Sedang aku meneliti benda atas kerusi roda tu, tiba-tiba kerusi bergerak sendiri ke arah aku.
“Shit!” terpacul makian dari mulut aku tanpa sengaja.
Tak cukup tanah aku lari patah balik ke arah Jabatan Kecemasan. Sikit pun aku tak toleh kebelakang. Tiba di sana, semua petugas lihat aku semacam.
“Encik, encik OK tak? Kenapa ni?” soal seorang jururawat.
Dalam termengah-mengah, aku pun ceritalah pada mereka apa yang terjadi. Mula-mula muka mereka tenang je dengar, tapi bila sampai bab benda tu bergerak, terlopong mulut dia orang.
“Kat mana kau nampak kerusi roda tu tadi?” tanya pengawal yang dari tadi turut mendengar cerita aku.
“Dekat korrridor depan ni, dah dekat depan Wad 3” jawab aku.
“Biar aku pergi tengok” balas pengawal keselamatan tu, lalu bergegas ke sana.
“Berani betul pak guard tu” kata aku.
“Pak Leman tu memang berani. Tak silap dia dulu askar.” balas seorang dressar.
Tak lama lepas tu, datang seorang pesakit. Maka staf kecemasan pun tinggalkan aku dah buat kerja mereka. Akhirnya aku tidur ke Hotel Seri Malaysia yang terletak betul-betul di hadapan Hospital Mersing. Nasib baik ada bilik kosong. Tak berani aku tidur di rumah di Yazeed tu.
Aku tak beritahu Yazeed aku tidur hotel. Masa aku jumpa dia petang lepas dia oncall tu, aku cuma cerita pasal kejadian kerusi roda di korridor menghala ke rumah mayat tu. Dia kata malam tu pun dia kata dia ada nampak seorang dressar pakai kopiah tolak kerusi roda pergi bilik mayat.
Yang peliknya dia tak kenal dressar tu, padahal di hospital daerah, biasanya semua petugas kenal sesama sendiri. Lepas tu dia cerita malam tu pesakit dia di Wad 3 dan wad kanak-kanak kena gangguan juga.
“Sorrylah bro, aku penat sangat ni. Aku balik rehat jap. Kau nak balik JB bila?” tanya Yazeed pada aku.
“Aku nak balik dah ni. Aku ada benda urgent nak kena settlekan esok. Nah kunci rumah kau” balas aku sambil pulang kunci rumah dia.
Tak sampai hati pula aku nak cerita pasal kes dalam rumah dia tu. Nanti tak rehat dia. Lepas dah habis minum-minum, aku pun balik JB. Sepanjang perjalanan tu terngiang-terngiang suara “lampu tak tutup” dalam telinga aku,
Esok paginya, Yazeed telefon aku. AKu ingat dia nak marah aku sebab keluar rumah tak kunci pintu. Malam tu aku memang tak ingat nak kunci pintu. Keluar rumah terus belah naik kereta.
Rupa-rupanya, Yazeed telefon nak cerita pasal dia kena kacau masa tidur dekat rumah. Lepas dia cerita, aku pun cerita pasal kes aku kena kacau dekat rumah dia.
Dia marah aku sebab tak beritahu dia. Nak tahu apa jadi pada si Yazeed lepas pada tu?
Kamarul Ariffin Nor Sadan
0 Comments