Isu perkahwinan seorang peraih getah 41 tahun dengan budak berumur 11 tahun menimbulkan kemarahan ramai pihak. Lelaki berkenaan, akhirnya dikenakan hukuman denda berjumlah RM1,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang.
Tidak terhenti di situ, laporan The Sun Daily turut melaporkan kedua-dua isteri terdahulu rupanya tidak dilayan dengan sebaiknya oleh lelaki terbabit. Isu berhubung komitmen peraih getah itu untuk memberi nafkah keluarga turut dikaitkan.
Pilih kami atau dia
Kedua-dua isteri lelaki itu turut menyatakan bantahannya terhadap perkahwinan ketiga suami mereka dengan kanak-kanak bawah umur itu. Mereka turut memberi kata dua kepada suami mereka sama ada memilih mereka atau isteri baru.
Kami katakan pada dia, pilih kami atau budak tu. Kami kata, dia kena pilih, tak boleh nak ketiga-tiga kami.
Selain itu, menurut wanita terbabit, suami mereka tidak pernah memberi wang nafkah yang cukup untuk anak-anak mereka, termasuk seorang yang menghidap penyakit tulang belakang.
Dia kedekut dengan kami tapi dia ada duit pula nak kahwin dengan Ayu dan bawa pergi bercuti. Anak-anak kami tak pernah dijaga oleh bapa mereka. Dia tak suka budak-budak, kecuali Ayu.
Sudah jalani pemeriksaan
Laporan New York Times turut menyatakan peraih getah itu tinggal di sebuah rumah mewah dan memiliki sebuah kereta berjenama mewah. Isteri pertamanya mengendalikan sebuah restoran dan kedai runcit.
Salah seorang pekerja wanita itu adalah ibu kepada Ayu. Ayu kerapkali menemani ibunya bekerja kerana tidak bersekolah.
Ayu dikatakan sudah ke hospital untuk menjalani ujian pemeriksaan dara di sebuah hospital bulan ini dan kemudiannya bertemu dengan suaminya. Lelaki berkenaan menegaskan hanya akan tinggal bersama isteri ketiganya itu setelah Ayu berusia 16 tahun.
0 Comments