KOTA BHARU: “Saya tidak tahupun yang isteri muda saya berada di negara asalnya Thailand sekarang sebab baru minggu lepas, saya memindah dia bersama ibu bapanya ke kawasan pendalaman,” kata peraih getah berusia 41 tahun.
Peraih getah itu berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan tentang laporan akhbar mengenai isteri ketiganya itu.
Katanya, hingga ke hari ini, dia tidak dapat menghubungi isterinya yang dikenali sebagai Ayu selepas memindahkan ketiga mereka ke kawasan pedalaman di sebuah kebun getah di Gua Musang.
“Kali terakhir saya berjumpa dengannya pada minggu lalu selepas menghantar mereka ke sebuah rumah di kawasan pedalaman dan sejak itu, saya tidak dapat menghubungi dia mungkin kerana liputan telefon agak sukar di sana.
“Setahu saya, isteri saya dan keluarganya pulang ke Thailand seminggu sebelum saya memindahkan mereka untuk memperbaharui dokumen perjalanan mereka yang telah tamat tempoh dan mereka pulang ke Kelantan selepas itu.
“Bagaimanapun, jika betul isteri saya berada di sana (Thailand), saya reda dan menerima ‘pemergiannya’ itu kerana mungkin jalan terbaik buatnya dan juga untuk keselamatan dirinya,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.
Dia bagaimanapun berharap pihak berkenaan di Thailand akan menjaga isterinya dengan baik.
“Jika difikirkan, elok juga isteri saya berada di situ (Thailand) kerana dia dapat belajar apa-apa yang perlu berbanding di sini kerana dia pernah dihina menyebabkan saya terpaksa memindahkan dia.
“Dia juga akan terbiar di sini dan tidak berbuat sesuatu yang berfaedah. Pihak Jabatan Kebajikan Negeri Kelantan (JKM) juga tidak dapat membantunya kerana dia adalah warga asing,” kata peraih getah itu.
Laporan akhbar NSTP semalam melaporkan peraih getah itu terpaksa membawa isteri ketiga dan ibu bapa mentua berpindah ke kawasan pedalaman akibat tidak tahan disindir masyarakat.
Akhbar hari ini melaporkan kanak-kanak Thailand berusia 11 tahun yang mengahwini lelaki Malaysia yang berusia 30 tahun lebih tua daripadanya disahkan sudah kembali ke negara asalnya.
Gabenor wilayah Narathiwat, Suraporn Prommool, berkata kanak-kanak itu dipercayai pulang ke Thailand pada Rabu lalu, selepas menerima “tekanan hebat daripada media Malaysia”.
Beliau kini dilaporkan menjalani kaunseling akibat tertekan dengan perhatian diberikan terhadap kesnya.
Bagaimanapun, menurut Suraporn, perkahwinan kanak-kanak itu tidak diiktiraf mengikut undang-undang sivil Thailand yang majoriti penduduknya penganut Buddha.
0 Comments