Viral di media sosial kelmarin video seorang remaja lelaki diikat dengan akar pokok di sebatang pokok oleh sekumpulan pelajar lelaki.
Video yang dimuat naik di laman Facebook Group IRDK (Kelantan) pada jam 9.57 malam Isnin, mencetuskan persoalan netizen mengapa remaja itu diperlakukan seperti itu dan dimana lokasi kejadian itu berlaku.
Dalam laporan Harian Metro semalam, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan berkata pihaknya akan menyiasat video tersebut. Namun JPN Kelantan juga tidak mengetahui sama ada kejadian itu berlaku di negeri ini atau sebaliknya walaupun bahasa pertuturan yang digunakan sekumpulan pelajar itu dalam loghat Kelantan.
Pengarahnya, Muhammad Zahari Othman berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.
"Saya baru melihatnya menerusi laman sosial yang diviralkan petang tadi. Apa pun, saya akan menjalankan siasatan segera termasuk meminta setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya mengambil tindakan sewajarnya sekiranya ia betul," katanya.
Beliau juga meminta pelajar yang menjadi mangsa dalam kejadian itu tampil melaporkan kepada pihak sekolah atau polis bagi memudahkan siasatan agar tindakan tegas dapat diambil terhadap sekumpulan pelajar terbabit.
0 Comments