Guna la Apa Cara Pun, Yang Penting Rakyat Mahu Jho Low Balik Raya
Keluarkan Notis MERAH Interpol. Ini Punca Jho Low Jadi CUAK | Jho Low masih bermain sembunyi-sembunyi dan terkini dia didapati berada di negara yang Malaysia tak boleh nak mohon extradisi. Tetapi bila dengar Interpol nak keluarkan notis MERAH je, dia terus cuak. Ini puncanya.
FUNGSI NOTIS MERAH INTERPOL
Beberapa cara boleh digunakan untuk membawa balik Low Taek Jho atau Jho Low ke negara ini berhubung siasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam kanan jenayah S.N.Nair berkata pihak berkuasa Malaysia dan atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menghubungi Interpol bagi menggunakan Notis Merah terhadap Jho Low setelah memperoleh waran tangkap terhadapnya.
“Notis Merah ini terpakai di mana-mana negara anggota Interpol. Polis di semua negara anggota Interpol kemudian berkewajipan menangkap Jho Low. Selepas itu, Malaysia boleh membuat permohonan kepada negara berkenaan untuk menghantarnya pulang ke Malaysia.
“Malaysia mungkin tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan semua negara anggota Interpol, tetapi perkara itu tidak menjadi halangan selagi Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dua hala dengan negara berkenaan,” katanya apabila ditanya sama ada Malaysia mempunyai pilihan lain bagi menangkap Jho Low kerana negara ini tidak mempunyai perjanjian ektradisi dengan negara tempat Jho Low tinggal sekarang.
Proses Ekstradisi Renyah
Beliau bagaimanapun berkata proses ekstradisi amat kompleks dan merenyahkan kerana sebagai orang kaya, Jho Low mampu menggunakan mahkamah negara itu bagi menyekat atau melengah-lengahkan keseluruhan proses ekstradisi (kecuali Brunei dan Singapura).
Nair berkata Malaysia juga boleh terus membatalkan pasport Jho Low, dan dengan itu akan menjadikannya sebagai orang tanpa warganegara.
“Dengan cara itu, dia perlu bergantung kepada belas ihsan negara yang menjadi tempat tinggalnya sekarang kerana melanggar undang-undang imigresen negara berkenaan. Tekanan seperti ini akhirnya akan memaksa Jho Low kembali ke Malaysia secara sukarela seperti dialami beberapa pelarian warga Singapura yang mencari perlindungan di luar negara,” kata beliau.
Seorang lagi peguam kanan jenayah, Datuk N. Sivananthan pula berpendapat, oleh kerana Notis Merah kini sudah dikeluarkan terhadap Jho Low, maka semua negara menjadi pihak kepada Interpol berkewajipan menangkap dan menghantar beliau ke negara yang memohon penangkapannya.
“Bagaimanapun, di sinilah akan timbul kerumitan. Pertama, adakah dia menjadi rakyat atau penduduk tetap di negara yang dia sedang berada dan sama ada negara itu mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.
“Kedua, dia boleh menggunakan hujah bahawa tiada pertuduhan yang menunggunya ketika ini dan dia mungkin boleh menggunakan alasan bahawa penyiasat boleh menemuduganya di tempat dia sedang berada,” kata peguam itu .
Beliau seterusnya berkata Jho Low juga boleh menggunakan hujah bahawa siasatan terhadapnya berasaskan politik berikutan hubungannya dengan perdana menteri sebelum ini, serta keluarganya dan pertuduhan berasaskan politik tidak terikat dengan ekstradisi walaupun negara berkenaan bersedia menimbang alasan serupa dengan ketiadaan perjanjian berkaitan ekstradisi.
“Oleh kerana dia mengambil pendekatan pertama melalui peguamnya, saya berpendapat apa yang perlu dilakukan ialah menemuduganya di negara di mana dia tinggal sekarang dan sekiranya terdapat keputusan untuk mengenakan pertuduhan terhadapnya kelak, langkah sewajarnya perlu diambil selepas itu.
Proses Panjang
“Kita masih dalam fasa mencari fakta dan kehadiran Jho Low perlu dimanfaatkan bagi mendapatkan pencerahan tentang kesalahan yang telah dilakukan.
“Pada pendapat saya, apabila anda berada dalam fasa membuat keputusan sama ada kesalahan telah dilakukan, maka butiran dan fakta mengenainya menjadi sangat penting. Spekulasi oleh media, sentimen orang ramai dan laporan tidak berasas perlu diketepikan. Perlu ada bukti nyata untuk membuat pertuduhan kerana jika tidak, ia tidak mencukupi,” katanya.
Notis Merah adalah permohonan oleh negara anggota bagi mengesan dan menangkap seseorang individu sebelum dia dikenakan ekstradisi dan notis itu akan hanya dikeluarkan sekiranya terdapat waran tangkapan kebangsaan yang sah.
Bekas pengerusi Jawatankuasa Amalan Jenayah Majlis Peguam Kuala Lumpur, Lim Chi Chau pula berkata terdapat beberapa cara untuk membawa pulang Jho Low ke negara ini, tetapi ia melibatkan proses panjang serta tertakluk kepada undang-udang di negara di mana dia (Jho Low) tinggal.
“Ketiadaan perjanjian ekstradisi tidak bermakna keadaan menjadi mustahil. Perjanjian hanya memudahkan proses itu,” katanya sambil menambah bahawa Malaysia boleh memohon Notis Merah bagi menangkap Jho Low, tetapi ia melibatkan satu proses panjang lebar. (Sumber: Malaysiakini)
0 Comments