PENYANYI, Ameng Spring tidak menyangka sikap sportingnya menyanyi dalam pesawat Air Asia tular di media sosial sehingga mencecah lebih 50,000 tontonan.
Keadaan berlaku dalam penerbangan Air Asia dari Kuala Lumpur ke Sibu, Sarawak pada 30 Jun lalu.
Ameng berkata, situasi berlaku tanpa dirancang ketika dalam penerbangan menjayakan program Gawai Raya berlangsung di Sarikei, Sarawak.
“Ia penerbangan awal pagi dan penumpang dalam pesawat memang penuh. Saya ditemani oleh penganjur pertunjukan pentas, Johan Aziz.
“Mulanya pramugara itu tak pasti ia Ameng Spring dan selepas tiga kali melintasi tempat duduk saya barulah dia berani menegur.
“Kebetulan dia peminat tegar Spring dan sangat seronok apabila bertemu saya,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Ameng, pramugara terbabit pernah hadir ke satu majlis kenduri dengan ketika itu dia masih remaja.
“Dia teruja dapat berjumpa saya semula dan saya dapat melihat keadaan dia yang tak keruan.
“Dia juga beritahu nak jemput saya ke depan dan saya pula tak menolak.
“Apabila tiba sesi jualan barangan dalam pesawat, saya dipanggil ke depan membantunya,” kata Ameng.
Pramugara terbabit membuat kelainan apabila menyampaikan intro lagu popular Spring, Sampai Hati dan kemudian menyerahkan mikrofon pembesar suara kepada Ameng.
“Saya menyambung lagu itu dan seterusnya menyanyikan lagu Butakah Cinta secara medley pula,” katanya.
Ameng mengakui menyedari aksi mereka dirakam dalam bentuk video dan tular di laman sosial.
“Saya gembira melihat penumpang yang pada mulanya tidur terus terbangun dan ambil video menggunakan kamera telefon.
“Ada juga penumpang bahagian belakang sempat merakam nyanyian saya.
“Tak sangka rupanya ramai kenal dan meminati saya,” katanya.
Turut berada dalam pesawat ialah penyanyi Ismaliza Ismail tetapi kedudukannya dibahagian belakang membuatkan peminat tidak mengenalinya.
“Saya gembira dapat memberikan hiburan cara baru kepada penumpang. Malah jualan barangan dalam pesawat dikendalikan pramugara terbabit laris.
“Saya tak kisah diundang menyanyi dalam pesawat. Mungkin cara ini belum pernah digunakan oleh orang lain,” katanya.
Sementara itu, penumpang gembira dengan apa berlaku dan dilihat bertepuk tangan sebaik Ameng menghabiskan persembahan.
0 Comments