Kelibat UFO yang dilihat di ruang udara Nizhny Novgorod sebenarnya roket Soyuz-2.1.B.
KETIKA seluruh dunia sedang menumpukan perhatian terhadap acara paling ditunggu-tunggu yang diadakan setiap empat tahun sekali, nampaknya makhluk asing juga tidak terkecuali untuk menyaksikan Piala Dunia 2018 di Rusia.
Sekurang-kurangnya itu andaian yang dibuat selepas satu klip yang menunjukkan kelibat lintasan cahaya berbentuk ikan pari-pari menghiasi ruang udara di utara negara tersebut.
Seorang wanita yang berjaya merakamkan kejadian itu di bandar Kirov menulis: "Apakah objek itu? Ia tidak kelihatan seperti sesuatu yang pernah saya lihat sebelum ini."
Ramai yang beranggapan bahawa ia sebuah fenomena luar angkasa.
Seorang netizen berkata: "Makhluk asing sudah tiba untuk Piala Dunia."
Kejadian aneh itu boleh dilihat dari Nizhny Novgorod, tidak jauh daripada perlawanan yang melibatkan England pada 24 Jun ini.
"Adakah itu roket, bebola api atau objek yang tidak dikenali (UFO) di langit Nizhny Novgorod?
"Tolong beritahu saya, kawan-kawan. Saya risau!," tulis netizen, Andrey.
Nampaknya, rakaman tersebut mempunyai penjelasan yang lebuh masuk akal daripada pegawai di pejabat angkasa Rusia.
Cahaya itu berpunca daripada pelancaran roket Soyuz-2.1.B dari kosmodrome Plesetsk di rantau sub-Arktik Arkhangelsk, Rusia.
Roket dengan satelit Glonass-M itu berada di ruang udara tersebut pada pukul 12.46 waktu Moscow, Ahad.
Memetik laporan Mirror UK, satelit tersebut dihantar untuk menyasarkan orbit oleh roket Fregat, kata pegawai tentera Rusia.
Walaupun Kementerian Pertahanan Rusia melaporkan pelancaran roket itu berjaya dilakukan, pengguna laman sosial di Rusia tetap berasa panik dengan apa yang dilihat mereka.
0 Comments