Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menjemput Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail berbuka puasa bersama di kediamannya di The Mines, Seri Kembangan, Serdang semalam.
Anwar Ibrahim kononnya didakwa cuba mensabotaj Dr Mahathir Mohamad tetapi sebaliknya kedua-dua pemimpin dan isteri mereka berbuka puasa bersama malam tadi di rumah perdana menteri di The Mines, Seri Kembangan.
The Malaysian Insight melaporkan ia adalah majlis peribadi atas permintaan Dr Mahathir yang menghantar jemputan kepada pemimpin PKR itu secara terus dan bukan kepada isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan timbalan perdana menteri.
Sebelum ini, dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, Anwar menolak beliau mempunyai sebarang masalah dengan Dr Mahathir namun tidak menolak usaha melaga-lagakan mereka berdua.
“Saya yakin, segala salah faham antara saya dengan Dr Mahathir akan selesai selepas kami bertemu beberapa kali selepas ini termasuk berbuka bersama,” kata Anwar sejak beliau masih lagi ditahan di Hospital Rehalibitasi Cheras ketika para penyokong saling mencurigai antara satu sama lain.
Kebelakangan ini timbul dakwaan tindakan beliau menghadap beberapa raja Melayu sebagai usaha mendapatkan sokongan mereka untuk menjadi perdana menteri lebih cepat daripada jangka masa dua tahun yang dipersetujui.
Dakwaan lain adalah Anwar dan rakan-rakannya dalam PKR sedang berbincang dengan pemimpin Barisan Nasional dan PAS bagi membentuk kerajaan baru.
Anwar menolak dakwaan ini dengan berkata itu adalah kerja gila.
“Ia dilakukan oleh pihak berkepentingan dan bimbang kalau-kalau mereka terpinggir apabila saya jadi PM nanti,” kata Anwar.
“Orang yang fikir idea ini adalah kerja gila dan memang mereka otak jahat saja yang boleh fikir macam ini.
“Kita bertungkus lumus, apa guna saya nak berpakat begitu rupa,” kata Anwar.
0 Comments