KUALA LUMPUR - Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menitiskan air mata ketika menerima kunjungan NGO, ahli-ahli Umno dan beberapa artis tanah air di kediamannya di Taman Duta hari ini.
Suasana hiba mengiringi pertemuan itu yang rata-rata mereka tidak putus-putus mengucapkan kata-kata sokongan kepada beliau sambil berpelukan.
Rombongan kira-kira 50 tetamu itu diketuai Presiden Persatuan Kebajikan Insan Mulia, Aminah Abdullah, yang merupakan kenalan rapat Rosmah sejak 11 tahun lalu.
Pertemuan itu pada awalnya hanya bersama Rosmah namun, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut serta selepas 40 minit sesi berkenaan.
Najib ketika menyambung sesi pertemuan itu menyatakan terharu dengan sokongan diterima dan begitu tenang meluahkan reaksi kepada tetamu yang hadir.
Pertemuan itu berakhir selepas sejam apabila Najib dan Rosmah terpaksa meminta diri untuk keluar, difahamkan untuk ke rumah Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li namun tidak diketahui tujuannya.
Sementara itu, Aminah berkata, beliau mengumpulkan sokongan berkenan mengambil semangat ketika reformasi Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang pernah berdepan situasi sama satu ketika dahulu.
Katanya yang juga bekas wanita PKR, tekanan dilalui Najib dan Rosmah tidak begitu jauh berbeza dengan apa yang berlaku satu ketika dahulu.
“Saya masih ingat perkara pertama yang Datin Seri Rosmah memberi reaksi pada saya ketika saya hubunginya berhubung siasatan SPRM, beliau dengan tenang berkata untuk apa dia takut kerana dia tidak salah.
“Jadi beliau sekeluarga memerlukan sokongan ramai kerana berdepan situasi sekarang ini. Sokongan ini akan berterusan, dan saya akan bawa lebih ramai agar Najib dan Rosmah lebih bersemangat,” katanya.
Selasa lalu, Rosmah hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes berhubung SRC International Sdn Bhd.
Rosmah menitiskan air mata dengan sokongan yang diterima daripada pelbagai pihak. Foto - SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Pada bulan lalu pula, Najib turut dipanggil ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan siasatan kes yang sama.
Najib memberi keterangan sebanyak dua kali, pada 21 dan 24 Mei masing-masing mengambil masa lebih lima dan enam jam.
Pada 26 Januari 2016, media melaporkan, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.
0 Comments