PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai alasan tersendiri berhubung keengganannya untuk tinggal di kediaman rasmi kerajaan di Seri Perdana, di sini.
Alasannya, kediaman rasmi itu terlalu besar untuk beliau bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali tinggal.
“Tak perlu la. Rumah itu besar. Saya hanya berdua dengan isteri. Anak cucu pula ada rumah sendiri. Lebih baik saya tinggal di rumah sendiri. Mudah dan selesa untuk kami berdua,” jelasnya selepas wawancara istimewa bersama Sinar Harian.
Katanya, kediaman rasmi itu hanya akan digunakan untuk urusan rasmi kerajaan.
10 Mei lalu Dr Mahathir secara rasmi dilantik menjadi Perdana Menteri ke-7 sekali gus mencipta sejarah tersendiri buat Malaysia selepas memegang jawatan nombor satu negara itu buat kali kedua.
Pengerusi Pakatan Harapan berumur 93 tahun itu juga mencipta sejarah menjadi ketua negara paling tua dilantik dalam dunia melalui proses demokrasi.
Dr Mahathir dipilih sebulat suara sebagai Perdana Menteri oleh presiden parti dalam komponen Harapan selepas parti itu menang 122 kerusi parlimen daripada 222 kerusi yang dipertandingkan dalam PRU14.
Ahli Parlimen Langkawi itu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang Di-pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara dalam Istiadat Angkat Sumpah Perdana Menteri ke-7.
Saya selesa di rumah sendiri, bukan Seri Perdana, kata Rosmah
PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor hari ini berkata beliau lebih selesa tinggal di rumahnya sendiri di Taman Duta berbanding kediaman rasmi kerajaan di Seri Perdana yang lebih besar.
Berucap di mesyuarat agung Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), isteri perdana menteri itu memetik perbualannya dengan Ketua Setiausaha Tan Sri Ali Hamsa.
“Tan Sri tanya saya, saya datang dari mana, saya kata saya datang dari rumah Taman Duta, Kuala Lumpur. Walaupun rumah di Seri Perdana sebelah bangunan ini, kalau saya duduk di sini 2 minit sampailah.
“Sebab saya duduk di Kuala Lumpur 30 minit baru sampai. Saya jarang-jarang duduk di sini Tan Sri, sebab ia bukan seperti rumah sendiri. Rumah ini besar tapi saya selesa duduk di rumah saya sendiri di Taman Duta.”
Seri Perdana dibina ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, di kemuncak kegawatan ekonomi 1997.
Ia menjadi antara bahan kempen pada pilihan raya umum 1999, setahun selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Kabinet yang mencetuskan gerakan reformasi. Pembangkang ketika itu mempersoalkan kos pembinaannya yang dikatakan mencecah sehingga RM200 juta.
Kompleks tersebut dibina di atas tapak seluas 42.5 ekar, dan merupakan antara mercutanda pusat pentadbiran itu.
Rosmah berkata beliau lebih senang tinggal di rumahnya sendiri kerana tidak mahu “berpindah randah”.
“Kita perempuan banyak barang nak dibawa,” katanya.
Dalam ucapannya, Rosmah berkata kedudukan dan pencapaian wanita Malaysia di tahap lebih baik berbanding negara lain.
“Kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) sentiasa peka dan perihatin dengan isu yang berkaitan wanita dan tidak sesekali mengabaikan kaum wanita dalam merangka dasar-dasar pembagunannya,” katanya.
Ia merupakan kali kedua bulan ini Rosmah mengajak wanita untuk menyokong gabungan politik diketuai suaminya,
Minggu lalu, Rosmah ketika berucap di sebuah majlis anjuran Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan atau Felcra, menyeru peneroka wanita supaya menolak “dakyah pembangkang”.
“Kalau mereka cakap bukan-bukan, kita tutup telinga. Kalau mereka cakap dekat kawan kita, kita suruh mereka tutup telinga. Percayalah kepada kebolahan BN untuk memerintah negara bersama-sama,” katanya.
Dr Mahathir sebelum ini merupakan perdana menteri keempat di mana beliau memegang jawatan selama 22 tahun (1981-2003) menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia paling lama berkhidmat.
Pada Oktober 2003, beliau melepaskan jawatan perdana menteri dan Presiden Umno. Beliau kemudiannya dianugerahkan dengan gelaran Bapa Pemodenan Malaysia.
Beliau bagaimanapun keluar Umno dan kembali aktif dalam politik dengan memegang jawatan sebagai Pengerusi PPBM dalam misi menentang BN pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam PRU14 yang diadakan pada 9 Mei lalu menyaksikan Harapan mencipta sejarah selepas menamatkan penguasaan Umno-BN yang memimpin negara selama lebih 60 tahun. Sinar Harian
0 Comments