oleh Shahbudin Husin
Rosmah Mansor tempohari disiasat SPRM selama 5 jam berkaitan SRC International, anak syarikat 1MDB yang kemudian diletakkan di bawah Kementerian Kewangan berhubung siasatan atas dakwaan pernah menyalurkan dana berjumlah RM42 juta ke akaun peribadi suaminya, bekas Perdana Menteri Najib Razak.
Ini adalah kali pertama dalam sejarah negara di mana isteri seorang bekas Perdana Menteri disiasat SPRM atas dakwaan berkaitan rasuah.
Sebelum ini, Rosmah juga mencatat beberapa sejarah tersendiri yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana isteri Perdana Menteri yang lain.
Antaranya, beliau merupakan isteri Perdana Menteri Malaysia tunggal yang pernah dikesan suka berbelanja mewah, melakukan banyak pembaziran, memiliki barang kemas dan perhiasan yang mahal-mahal ketika suaminya sedang berkuasa.
Beliau juga satu-satunya isteri Perdana Menteri yang menggelarkan dirinya sebagai First Lady dan amat terghairah dengan gelaran itu.
Tiada isteri Perdana Menteri lain, kecuali Rosmah yang kerap kali terbang ke sana sini menggunakan jet eksekutif kerajaan tanpa ditemani oleh suaminya.
Baru-baru ini, ketika serbuan pihak polis setelah suaminya hilang kuasa, sejumlah 284 kotak mengandungi beg tangan mewah yang dipercayai miliknya dirampas daripada kondo yang didiami oleh anaknya.
Selain itu, sejumlah 37 beg lagi yang mengandungi barang kemas dan intan pertama juga turut ditemui yang nilainya masih lagi sedang dikira oleh pihak polis.
Penemuan itu segera mengingatkan kita kepada Imelda, isteri bekas diktator Filipina, Ferdinand Marcos yang mempunyai sejumlah lebih 3,000 pasang kasut mahal yang ditemui setelah suaminya berjaya digulingkan.
Selepas disiasat oleh SPRM, tidak mustahil selepas ini Rosmah akan turut didakwa dan dihukum penjara.
Sekali lagi, jika itu berlaku, catatan sejarah Rosmah terus meningkat.
Pendeknya, catatan sejarah yang bakal ditempa oleh Rosmah nanti akan menjadi kenangan zaman berzaman generasi negara kita dan tidak mungkin ada sesiapa yang lain mampu atau teringin untuk menandinginya.
– ShahbudinHusin
*Shahbudin Husin adalah penulis buku politik terkenal. Artikel pertama kali disiar di blog beliau tidak semestinya mewakili pendirian MalaysianReview.
2 Comments