Misteri Meriam Ghaib Meletup, Petanda Segamat Akan Dilanda Bah Besar

Misteri Meriam Ghaib Meletup, Petanda Segamat Akan Dilanda Bah Besar

Misteri Meriam Ghaib Meletup, Petanda Segamat Akan Dilanda Bah Besar

 Musim hujan ketika ini membuat banyak tempat dinaiki air dan banjir terutama di negeri seperti Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor.

Kebetulan kisah yang hendak diceritakan ini ada kaitan juga dengan banjir. Cuma, lokasinya di Segamat, Johor. Kisah mengenai sebuah meriam misteri yang dikatakan menjadi penanda jika kawasan itu akan dilanda banjir.

Diceritakan, penduduk kampung terutamanya yang tinggal berdekatan bandar Segamat akan terdengar letupan meriam sebelum berlakunya banjir. Bila mendengar bunyi letupan meriam ini, penduduk kampung biasanya akan bersiap siaga. Mereka akan mula mengemas dan menyimpan barang-barang di tempat selamat atau tinggi.  

Orang-orang tua di kawasan ini menganggap bunyi letupan itu sebagai amaran awal atau petanda bandar Segamat akan ditenggelami atau dilanda banjir besar.

Benar atau tidak kisah ini? Kami tidak berani mengesahkannya kerana bukan penduduk daerah itu.

Penghujung tahun 2017, Mastika pernah ke Segamat untuk bertanyakan kesahihan kisah ini pada penduduk di sana. Ramai juga yang mengakui pernah mendengar cerita tersebut. Namun sejauh mana kebenarannya, mereka tidak dapat mengesahkannya.

Ada juga yang ditemui tidak percaya dan menganggap kemungkinan bunyi tersebut daripada letupan mercun atau bunyi tembakan pihak tentera yang menjalankan latihan.

Seorang pemuda bernama Izham yang kami temui mengaku pernah mendengar bunyi letupan meriam itu. Dia mendakwa pernah mendengar dentuman meriam misteri itu pada tahun 2006.

Pada malam kejadian, dia sedang menonton televisyen sebelum dikejutkan dengan satu letupan yang agak kuat sebanyak dua kali. Mulanya Izham tidak ambil kisah kerana menyangka ia bunyi letupan mercun.

Keesokannya semasa minum di sebuah gerai, dia terdengar beberapa orang tua berbual mengenai bunyi letupan yang didengarinya malam itu.

“Orang tua-tua sembang, saya tumpang dengar. Kata mereka, bunyi tu dari meriam misteri. Tandanya Segamat akan dilanda banjir besar. Orang tua tu saling berpesan kena bersiap sedia. Dan dua hari lepas bunyi letupan tu, memang betul Segamat dilanda banjir. Banjir besar pada tahun 2006 tu,” kata Izham.

Bermula dari situ, Izham mula bertanya tentang bunyi meriam misteri tersebut daripada orang tua-tua sekitar situ. Ramai yang ditemuinya mengakui bunyi letupan meriam tersebut telah berlaku sejak dahulu lagi. Ia merupakan petanda awal Segamat akan dilanda banjir. Namun, siapa yang lepaskan meriam tersebut dan dari mana datangnya, itu yang jadi misteri sehingga kini.

“Ada yang kata meriam tu terletak di Bukit Senggir. Ada yang kata di Lubuk Batu, ada juga yang kata di Bukit Manduk. Cerita orang tua-tua lagi, meriam ni dari alam ghaib. Mungkin meriam bunian. Ia berbunyi tak kira masa. Kadang-kadang malam, kadang-kadang siang. Tak tentu. Untunglah siapa boleh dengar.”

Kata Izham lagi, kakaknya bernama Wani yang tinggal di Kampung Pogoh 3 di Segamat juga pernah mendengar bunyi letupan meriam itu, tetapi pada tahun yang berlainan.

Kakaknya mendengar letupan itu pada tahun 2014 waktu tengah hari semasa hujan renyai-renyai. Letupan itu berbunyi tiga kali berturut-turut.

Pada awalnya, kakak Izham juga menyangka ia bunyi mercun. Tetapi arwah ibu mereka memberitahu bahawa itu bunyi letupan meriam misteri yang membawa petanda akan berlaku banjir besar. Beberapa hari kemudian, Segamat benar-benar dilanda banjir.

Bukan hanya Izham dan kakaknya, malah ramai juga penduduk yang mendengar bunyi tersebut. Bahkan, bunyi letupan itu pernah heboh dalam media sosial di kalangan penduduk Segamat. Boleh dikatakan, hampir setiap tahun ada orang bercerita pernah mendengar bunyi letupan meriam misteri ini.

Antara paparan di Facebook penduduk Segamat tentang bunyi meriam misteri ini.

Ada orang-orang tua di kawasan ini berkata, mereka mendengar kisah yang disampaikan secara lisan dari zaman dulu terutama dari pawang-pawang di kawasan ini dahulu yang mengatakan bahawa meriam misteri ini milik makhluk alam ghaib. Kononnya, ia milik orang bunian yang diketuai oleh ketua bunian bernama Tok Kali Gentar Alam. Lokasi meriam tersebut pula dikatakan berada di atas Bukit Kubu.

Jika anda datang dari Segamat, akan melalui sebuah jambatan. Ada sebatang sungai di situ. Orang kampung panggil sungai Codan. Kalau dalam peta ditulis Sungai Kenawar. Dahulu, berdekatan jambatan itu ada sebuah bukit yang dipanggil bukit Kubu. Tapi sekarang bukit itu sudah ditarah untuk pelebaran sungai.

Menurut orang tua-tua dahulu, di situlah tersimpannya meriam misteri ini. Dikatakan di situ ada perkampungan bunian. Merekalah yang letupkan meriam itu sebagai amaran Segamat akan dilanda musibah, supaya penduduk bersiap sedia.

Begitulah cerita yang disampaikan turun temurun. Kesahihannya tak dapat dipastikan, apatah lagi orang-orang tua dahulu dan golongan pawang-pawang di kawasan itu sudah meninggal dunia.

Ada sesiapa orang Segamat yang terdengar bunyi letupan meriam baru-baru ini?

Post a Comment

0 Comments