Jiran Cerita Detik Ketika Tong Biru Berisi Mayat Adik Amir Di Usung Keluar

Jiran Cerita Detik Ketika Tong Biru Berisi Mayat Adik Amir Di Usung Keluar

Jiran Cerita Detik Ketika Tong Biru Berisi Mayat Adik Amir Di Usung Keluar





 BOLEH dikatakan seluruh rakyat Malaysia hari ini terkesan dengan berita kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun iaitu Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek yang dipercayai menjadi mangsa dera ahli keluarga sendiri.

Selain rintihan hati keluarga angkatnya yang tular di media sosial, jiran kepada kanak-kanak itu turut tampil membuka cerita.


Wanita yang hanya mahu dikenali Kak Aish, 47, berkata, dia bukan sahaja terkejut malah sedih mengenangkan mangsa berusia tujuh tahun sering termenung di luar rumah.

Menurutnya, dia yang berpindah di taman berkenaan pada tahun 2018 dari Kuala Lumpur, mengakui ibu kandung kepada kanak-kanak lelaki malang tersebut jarang bergaul dengan jiran tetangga yang lain dan sebelum ini sering melihat wanita itu keluar bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah berhampiran.

Namun katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dia tidak lagi melihat wanita itu keluar bekerja dan ada kalanya kanak-kanak lelaki itu berada di pekarangan rumah bersama dua adiknya.

"Semalam (Jumaat) memang saya nampak ambulans, kemudian suami saya bertanyakan kepada suami wanita itu, dan dia memaklumkan anaknya meninggal dunia kerana lemas di dalam tong.

"Tapi bila lihat tong berwarna biru dan mayat kanak-kanak itu diusung keluar dari rumah mereka saya sebak dan pilu," katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.

Terdahulu, pasangan suami isteri direman tujuh hari selepas dipercayai mendera kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga meninggal dunia dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, pihak polis menerima panggilan daripada bapa tiri mangsa yang anaknya itu lemas di dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan.

Seorang lagi jiran berusia 43 tahun mendakwa dia kerap mendengar tangisan kanak-kanak dari rumah jirannya itu namun tidak mengesyaki apa-apa memandangkan dia juga mempunyai anak kecil dan menganggap tabiat (menangis) itu biasa.

"Namun bila nampak ambulans datang, saya terus bergegas ke luar rumah dan diberitahu oleh ayah tiri mangsa bahawa anaknya telah meninggal dunia akibat lemas manakala ibu mangsa duduk di atas sofa dan menangis.

"Bila tanya pada pasukan paramedik apa berlaku, salah seorang daripada mereka maklumkan kanak-kanak itu sebenarnya telah lama meninggal dunia," katanya sedih.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di rumah mangsa mendapati rumah teres dua tingkat itu telah diletakkan pita kuning polis dan terdapat sebuah kereta Perodua Kancil berwarna putih selain sebuah lori tiga tan yang diletakkan di hadapan dipercayai milik bapa tiri mangsa

Post a Comment

0 Comments