Pekerja Utusan menderita, berhutang 'ah long', susu anak berganti sirap

Pekerja Utusan menderita, berhutang 'ah long', susu anak berganti sirap

Pekerja Utusan menderita, berhutang 'ah long', susu anak berganti sirap

KUALA LUMPUR: Apakah nasib kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad sekarang ini?

Setelah hampir tiga bulan tidak dibayar gaji, seramai 769 kakitangan syarikat akhbar itu terpaksa menanggung derita sehingga ada yang berhutang dengan 'ah long' dan sanggup menggadaikan harta yang mereka miliki demi meneruskan kehidupan seharian.

Bagi yang mempunyai anak kecil pula, mereka mendakwa terpaksa memberi air sirap untuk menggantikan susu yang sudah tidak mampu dibeli kerana ketiadaan wang.

Ekoran nasib tidak menentu yang kini ditanggung kakitangan syarikat itu, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) hari ini mendesak Pengerusi Utusan Melayu Datuk Aziz Sheikh Fadzir melepaskan pegangan sahamnya dengan kadar segera demi kepentingan syarikat akhbar itu.

Menurut Setiausaha Agung NUJ, Chi Sung Chew, UMNO pula secara jelasnya tidak mempedulikan nasib kakitangan Utusan ketika ini sehingga sanggup melihat mereka menderita.

“UMNO adalah parti yang membela nasib orang Melayu tetapi pada hakikatnya pekerja Melayu di syarikat sendiri pun tidak terbela,” katanya sewaktu sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Lebih menyedihkan, tambah Chin, mereka yang bekerja di Utusan juga mengalami kesukaran untuk ke tempat kerja kerana tiada wang untuk mengisi petrol kenderaan, dan apatah lagi untuk melakukan tugasan liputan di lokasi tertentu.

“Ramai ahli kami sekarang diburu oleh bank-bank lantaran gaji kerap dibayar lewat sejak awal tahun ini. Malah ia menjadi lebih teruk apabila gaji langsung tidak dibayar pada bulan lalu (Julai),” ujar Chin.


Lebih parah, Chin turut menjelaskan bahawa wang potongan gaji seperti Kumpulan
Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), zakat, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), pinjaman bank dan Tabung Haji pula ibarat 'dirompak' kerana bayarannya tidak sampai ke agensi berkenaan sedangkan dalam slip gaji, ia dipotong seperti biasa.

“Sudahlah tidak dibayar gaji bulanan, ahli kami di Utusan sudah lima tahun tidak menikmati kenaikan gaji mengikut perjanjian bersama atas alasan syarikat tidak mempunyai sumber kewangan.

“Namun, peliknya syarikat di bawah kepimpinan Aziz ini boleh pula menaikkan gaji kakitangan atasan sehingga 10 ke 30 peratus sejak April lalu walaupun dikatakan tiada wang,” tambah beliau.

Chin menyifatkan bahawa tindakan seperti itu bukan sahaja bersikap pilih kasih atau ‘double standard’ tetapi juga bertujuan menjejaskan keharmonian dalam kalangan pekerja dalam Utusan.

Ekoran itu, beliau berkata, NUJ akan mengadakan piket di hadapan pejabat Utusan pada 19 Ogos jika gaji masih belum dibayar. Ia akan dilakukan untuk memberi tekanan kepada pihak pengurusan supaya menjual sebahagian aset syarikat untuk membayar gaji dan tuntutan kakitangan.

NUJ juga telah menubuhkan dana untuk membantu kakitangannya. Wang itu boleh disalurkan ke akaun CIMB NUJ di 8000367100.

Post a Comment

0 Comments