Misteri Bau kapur barus seperti ada orang mati di tingkat 3 hotel Aziziyah

loading...
Loading...
Misteri Bau kapur barus seperti ada orang mati di tingkat 3 hotel Aziziyah
HOTEL penginapan di Aziziyah yang dihuni oleh saya dan 200 lagi jemaah dari Malaysia terus menimbulkan tanda tanya dan kekalutan.
Walaupun saya dan jemaah sebilik merahsiakan pengalaman menakutkan yang dilalui, namun, kisah sepasang suami isteri menggemparkan jemaah lain.
Sepasang suami isteri berusia dalam lingkungan pertengahan 50-an dari Selangor itu kelihatan sering berdua ke mana-mana saja. Si suami pendiam dan sering kelihatan tidak sihat manakala si isteri pula tidak banyak bergaul dengan jemaah lain namun sesekali tersenyum apabila disapa.
Mereka menghuni tingkat tiga hotel berkenaan. Seringkali saya terserempak dengan mereka, terutama di dewan makan. Lazimnya, mereka hanya turun bersarapan pada kira-kira jam 8 pagi. Tidak seperti jemaah lain, yang sering turun lebih awal, iaitu selesai solat Subuh. 
Pada suatu tengah hari, saya dipanggil ke bilik petugas dan diminta supaya mendekati si isteri kerana seperti ada yang tidak kena pada pasangan berkenaan.
Saya cuba berbual dengan si isteri sewaktu makan dan apabila terserempak. Sekadar bertanya khabar dan sudah makan atau belum. 
Namun, apa yang saya perhatikan, si isteri seperti dalam kesedihan apabila melihatkan mata dan wajahnya yang sendu. Saya maklumkan perkara itu kepada ketua dan petugas lain.
Selang dua hari, saya dipanggil lagi ke bilik petugas dan ustaz bercerita bahawa ada jemaah di tingkat tiga mengadu bahawa pasangan suami isteri itu bergaduh dan mungkin si isteri dipukul teruk oleh suaminya.
Semua terkejut dan ustaz turut bertanya adakah saya mendengar jemaah wanita yang lain bercerita mengenai perkara itu.
“Tak dengar pulak ustaz pasal perkara itu. Kalau si isteri dipukul teruk, mesti ada lebam-lebam,” ujar saya.
Namun, seorang petugas lain pula berpendapat, ada kemungkinan kesan dipukul itu tidak kelihatan sebab si isteri menutup seluruh tubuh kecuali muka dan tangan.
Ustaz mula menyiasat mengenai perkara itu dengan berkunjung ke bilik pasangan itu pada kira-kira pukul 10 pagi esoknya.
Selepas ustaz bertemu pasangan itu untuk bertanya khabar, ustaz bercerita pada semua petugas, termasuk saya.
                        
Bau kapur barus sering kali dikaitkan dengan kematian kerana digunakan ketika memandikan jenazah.
“Suaminya membuka pintu dan saya minta izin untuk masuk seketika untuk melihat keadaan di dalam bilik. Tidak nampak pula sebarang tanda-tanda pergaduhan sebab semua tersusun rapi.
“Namun, yang menyebabkan bulu roma saya meremang adalah bilik itu berbau kapur barus dan seolah-olah ada mayat di dalam bilik itu. Saya sengaja tanya, semua okey ke dan mereka jawab. Alhamdulillah,” cerita ustaz.
Terbeliak mata saya mendengar cerita ustaz.
Ustaz mengatakan, dia tidak boleh lupa bau kapur barus di dalam bilik itu tetapi melihatkan keadaan si isteri tidak pula cedera atau lebam-lebam, dia terasa lega.
Namun, pelbagai pertanyaan bermain di dalam fikiran ustaz kerana bilik itu berbau kapur barus dan umpama ada sekujur mayat.
Kisah bilik berbau kapur barus tidak kami ceritakan kepada yang lain kerana tentu sekali ia boleh menimbulkan kekalutan dan ketakutan. Namun, ustaz memaklumkan kepada jemaah bahawa si suami tidak membelasah isterinya sebagaimana disangka oleh jemaah di tingkat tiga hotel itu.
Bagaimanapun, selepas pencerahan itu, jemaah turut bertanya bunyi bising umpama pasangan suami isteri bergaduh datang dari mana, namun, tiada sesiapapun mampu memberikan jawapannya.
Untuk musim haji tahun lalu dan insha Allah pada tahun ini, jemaah dari agensi pengendali haji terbabit tidak lagi menghuni hotel berkenaan.
***Raihanah Abdullah ialah pembimbing umrah dan jemaah haji wanita

Post a Comment

0 Comments