Sahabat baik cerita Adam lumpuh separuh badan, hanya boleh gerakkan jari

loading...
Loading...
Sahabat baik cerita Adam lumpuh separuh badan, hanya boleh gerakkan jari

KEPULANGAN buat selama-lamanya chef selebriti Adam Mahamed Ismail ke pangkuan Ilahi memberikan tamparan besar kepada sahabat baiknya yang hanya ingin dikenali sebagai Izat.
Persahabatan yang terjalin sejak 12 tahun lalu itu terlerai apabila Adam atau lebih popular dengan panggilan Adamdidam menghembuskan nafas terakhir pada pagi Ahad.
Izat yang mengetahui tentang keadaan kesihatan chef tersebut tidak menyangka sahabatnya itu akan meninggalkan keluarga dan rakan-rakan secepat ini.

Kenangan Adam dan Izat bersama dua lagi sahabat baik mereka.
"Kali terakhir kami bertemu pada 2 Mei lalu selepas saya dan dua lagi sahabat baik kami dihubungi oleh kakak Adam untuk datang menziarahi beliau memandangkan keadaan kesihatannya semakin kritikal.
"Kami memang dah tahu Adam sakit, tapi tak sangka dia akan pergi terlalu cepat kerana dia sendiri meyakinkan kami yang dia akan sembuh seperti biasa," katanya kepada mStar pada Ahad.
Antara kata-kata terakhir yang kerap diungkapkan oleh Adam supaya Izat tidak bimbang tentang dirinya dan beliau berharap akan segera sembuh daripada penyakitnya.
Walaupun terbaring lemah, Adam sempat memberitahu rakan-rakannya bahawa beliau amat gembira dapat berjumpa dengan mereka.
Tambah hos perkhidmatan penginapan itu, Adam pernah memberitahunya menerusi aplikasi WhatsApp bahawa keadaan tubuhnya sudah lumpuh separuh badan dan pergerakannya terbatas.

Kita memang dah tahu yang Adam sakit, tapi tak sangka dia akan pergi terlalu cepat kerana dia sendiri meyakinkan kami yang dia akan sembuh seperti biasa

IZAT

Rakan karib Adam

Menurut Izat, sahabat baiknya tidak menjelaskan secara terperinci keadaan lumpuhnya itu, bagaimanapun memaklumkan dia hanya boleh menggerakkan jari untuk menaip mesej.
"Saya gembira kerana berpeluang menemui beliau di rumah ibu bapanya empat hari sebelum Ramadan lalu. Namun, berasa sedikit terkilan kerana tidak dapat pulang ke Kelantan untuk menghadiri pengebumiannya.
"Terlalu banyak kenangan antara kami sehingga saya tidak dapat senaraikan satu-persatu tentang kebaikannya," ujarnya yang menetap di Selayang, Selangor.
Pemuda itu juga berkongsi tentang sikap Adam yang amat mengutamakan kedua orang tuanya dalam apa jua perkara.
Katanya, Adam berazam untuk membahagiakan ibu bapa dan keluarganya terlebih dahulu sebelum memikirkan tentang jodoh.
Persahabatan mereka kini hanya tinggal kenangan.
"Saya pernah mengusik Adam, tanya dia bila nak kahwin dan bila nak cari teman wanita?
"Tetapi, dia kata dia nak bahagiakan ibu bapanya dahulu sebelum mendirikan rumah tangga," kata Izat dalam nada sayu.
Terdahulu, mStar melaporkan Adam dijemput Ilahi pada usia 29 tahun akibat jangkitan paru-paru.
Berita tersebut dikongsikan oleh sepupu beliau, Natasha Amran menerusi sebuah posting di Instagram pada pagi Ahad.
Allahyarham meninggal dunia di kediaman ibu bapanya di Kota Bharu, Kelantan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lemal, Pasir Mas selepas solat Zohor.

Post a Comment

0 Comments