Jika Altantuya Shaariibuu masih hidup

Jika Altantuya Shaariibuu masih hidup

Jika Altantuya Shaariibuu masih hidup



SHAH ALAM - "Jika Altantuya Shaariibuu masih hidup, dia akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-40 hari ini," kata Dr. Shaariibuu Setev, bapa mangsa bunuh warganegara Mongolia berkenaan selepas perbicaraan saman sivil di Mahkamah Tinggi di sini.
Shaariibuu, 69, berkata, pihak media di Mongolia juga ada menyiarkan berita mengenai ulang tahun kelahiran wanita itu hari ini malah isteri serta anaknya yang lain juga mengadakan upacara keagamaan di negara terbabit sebagai mengingati Altantuya.
Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Shaariibuu memberitahu yang beliau amat mengharapkan keadilan terhadap anaknya itu dapat ditegakkan kerana kes berkenaan bukan sahaja diikuti oleh rakyat di Malaysia mahupun Mongolia, tetapi di seluruh dunia.
Tambah profesor sambilan di Mongolian National University itu, beliau pernah berjumpa dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun lepas dan dijanjikan keadilan terhadap kematian anaknya.
"Selain itu, ada isu lain timbul membabitkan hubungan antara kedua-dua negara (Malaysia dan Mongolia) yang mana ketika persidangan antarabangsa, perwakilan dari kedua-dua negara dilihat tidak duduk bersama.
"Ini menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Mongolia. Tujuan kami adalah untuk merapatkan semula jurang yang wujud ketika ini sejurus kes berkenaan dapat diselesaikan," katanya.
Terdahulu, sebelum mula memberi keterangan pada prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Shaariibuu memaklumkan kepada mahkamah mengenai ulang tahun kelahiran anaknya itu dan memohon semua bertafakur.
Shaariibuu (kanan) amat mengharapkan keadilan terhadap anaknya dapat ditegakkan. - Gambar fail/Foto oleh Bernama

Sementara itu, Penasihat berkaitan Masyarakat Sivil dan Hak Asasi Manusia kepada Presiden Mongolia, Uyanga Gantumur yang hadir mengikuti perbicaraan kes itu hari ini memberitahu kerajaan dan rakyat di negaranya mahu keadilan ditegakkan dan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan.
"Kes ini memberi kesan kepada hubungan dua hala antara kedua-dua negara," katanya.
Pada 4 Jun 2007, Shaariibuu dan isterinya Altantsetseg Sanjaa serta dua orang cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga memfailkan saman RM100 juta ke atas dua bekas anggota polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga digugurkan daripada senarai plaintif berikutan kematiannya dua tahun lepas.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya telah menyebabkan mereka mengalami kejutan emosi dan trauma yang melayakkan mereka dibayar ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau. - Bernama

Post a Comment

0 Comments