SEORANG wanita direman empat hari bermula Ahad selepas dipercayai memukul ibu kandungnya di sebuah rumah di Kampung Padang Tengir, Manir Kuala Terengganu pada Sabtu.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu, Roszita Md Saad terhadap suspek berusia 30-an bagi membantu siasatan kes itu.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam, suspek juga ibu kepada dua anak lelaki itu bertindak menumbuk muka dan kepala mangsa yang berusia 56 tanpa diketahui punca.
"Tidak cukup dengan itu, suspek juga mencekik dan menghentak kepala ibunya dengan batu bata yang sengaja diambil di luar rumah.
"Akibat kesakitan, mangsa nekad melarikan diri keluar dari rumah. Susulan perbuatan itu juga, mangsa mengalami kecederaan bengkak di muka, sakit di kepala dan leher," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Sumber berkata, mangsa mendakwa sebelum ini dia sering dipukul suspek dengan menggunakan kayu, besi atau apa sahaja barang yang ada berhampirannya tanpa sebarang sebab.
"Bukan sahaja dirinya, wanita itu mendakwa suspek turut bertindak memukul dua cucunya yang masih kecil.
"Malah, baru-baru ini, kanak-kanak itu ada mengadu kepada mangsa yang suspek ada memukul mereka," katanya.
Menurutnya, tidak tahan dipukul serta risau akan keselamatan diri dan dua cucunya pada masa akan datang, mangsa nekad membuat laporan polis pada Sabtu.
"Wanita itu disiasat di bawah Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2012 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan," katanya. - SINAR HARIAN.
0 Comments