Bapa daif 5 jam peluk jenazah anak, “Dia masuk van, kami dah mula menangis”

Bapa daif 5 jam peluk jenazah anak, “Dia masuk van, kami dah mula menangis”

Bapa daif 5 jam peluk jenazah anak, “Dia masuk van, kami dah mula menangis”

PENGLAMAN yang menginsafkan, begitulah kata-kata Yunizam Yusop mengenai perkhidmatan van jenazah percuma yang diusahakannya di sekitar Sandakan, Sabah sejak tahun lalu.
Kisah terbaharu mengenai jejaka berusia 31 tahun yang lebih dikenali sebagai Abam Botak itu tular di media sosial baru-baru ini.
Menerusi perkongsiannya pada Rabu, dia bersama dua rakan menghantar jenazah bayi berusia lapan bulan yang dipangku bapanya dari Hospital Sandakan ke Telupid.

Bersama posting tersebut, turut disertakan beberapa keping foto yang menunjukkan si bapa yang duduk bersebelahan keranda dalam van jenazah sedang memeluk erat bayinya sekali gus menyentuh hati netizen.

Saya dapat idea apabila ada orang hubungi, minta tolong cari van jenazah. Bila saya cari, harganya agak mahal. Ramai orang yang susah, jadi apa salahnya saya buat perkhidmatan ini.

YUNIZAM YUSOP

Sebagai individu yang dikenali masyarakat kerana menyediakan perkhidmatan van jenazah percuma, Abam Botak sering menerima panggilan daripada penduduk sekitar Sandakan yang mahu mendapatkan bantuannya.
"Pada hari itu seorang doktor hubungi saya, tanya jika saya ada buat penghantaran ke luar daerah... sebenarnya tak buat, saya cuma buat sekitar Sandakan saja. Tapi bila doktor beritahu tentang kesusahan lelaki itu, saya terus setuju.
"Bayi itu meninggal akibat jangkitan kuman dalam paru-paru, masa bapa dia naik van tu pun kami dah mula menangis. Sekali pandang pun tahu dia orang susah.
"Perjalanan dari hospital ke Telupid ambil masa dua jam setengah. Dari simpang Telupid ke rumahnya pula tiga jam perjalanan, jadi keseluruhan perjalanan ambil masa sekitar lima jam," katanya ketika dihubungi mStar, Jumaat.
Keadaan rumah lelaki itu di Telupid yang cukup daif.
Setibanya di pintu rumah lelaki itu, Yunizam mengakui sekali lagi menitiskan air mata kerana tersentuh melihat kedaifan hidupnya.
Bekerja sebagai buruh, bayi yang meninggal itu merupakan satu-satunya cahaya mata lelaki berkenaan bersama isterinya.
Katanya, lebih menyayat hati apabila melihat isteri lelaki itu turut kelihatan menangis saat suaminya tiba sambil membawa jasad anak mereka.
"Sepanjang perjalanan tak banyak yang saya borak dengan dia. Tengok dia sedih, saya tak mahu ganggu.
"Saya tengok dia cuma nak fokus pada anaknya sahaja... sepanjang dalam van jenazah, dia peluk dan kucup jasad anaknya itu.
"Selepas hantar, kami pun segera pulang sebab ada jenazah lain lagi di Sandakan yang perlu dihantar," katanya lagi.
Mengulas idea di sebalik perkhidmatan van jenazah percuma, Yunizam berkata ia dimulakan pada tahun lalu dengan tujuan membantu golongan yang kurang berkemampuan.
"Saya dapat idea apabila ada orang hubungi, minta tolong cari van jenazah. Bila saya cari, harganya agak mahal.
Yunizam lebih dikenali sebagai Abam Botak dalam kalangan warga sekitar Sandakan.
"Ramai orang yang susah, jadi apa salahnya saya buat perkhidmatan ini. Pada 2017, saya ada buat perkhidmatan kereta percuma untuk hantar orang ke hospital.
"Sekarang ni dalam proses mendapatkan van jenazah kedua," ujarnya yang mengusahakan perkhidmatan itu bersama lapan orang rakannya.
Selain itu, Yunizam turut mengusahakan kelas mengaji untuk 140 pelajar di Pusat Bimbingan Siti Khadijah, Sandakan.
Dari segi kos pengangkutan, Yunizam berkata pihaknya ada menerima sumbangan orang ramai.
Yunizam mengalu-alukan jika ada pihak yang ingin menyumbang untuk perkhidmatan van jenazah percuma.
Malah, dia dan rakan-rakannya juga turut mengumpul wang sendiri untuk kos minyak dan penyelenggaraan kenderaan.
Tambahnya lagi, dia juga tidak menolak seandainya ada pihak di luar sana yang mahu menyalurkan sumbangan bagi melancarkan lagi perkhidmatan van jenazah percuma itu.

Post a Comment

0 Comments