Breaking News

Anak Sedih Najib Tak Serik

Loading...
loading...
Anak Sedih Najib Tak Serik

SEMANGAT ‘Malu apa bossku’ yang dibawa oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perjuangan bekas perdana menteri itu kini menjadi ikutan ramai.
Tanpa mengenal penat lelah, Najib saban hari melontarkan suaranya dengan cara tersendiri dan ia mengundang keprihatinan anak perempuannya, Nooryana Najwa. 
Nooryana berkata, bagi bapanya, kuasa dan jawatan datang dan pergi tetapi membantu orang yang memerlukan adalah perjuangan yang perlu diteruskan selagi boleh.
Baru-baru ini, selepas 21 tahun dan selepas kalah dalam pilihan raya, dia pernah bertanya pada bapanya adakah hatinya masih sama seperti dahulu.
“Adakah ayah masih mahu berjuang? Fikirkan apa yang mereka akan buat kepada ayah, kepada keluarga dan kepada penyokong-penyokong ayah.”
Ini kerana beberapa rakan bapanya berpaling tadah kepada kerajaan selepas pilihan raya, mungkin kerana mereka takut pemimpin kerajaan yang baharu akan membalas dendam dan mengambil tindakan ke atas mereka.
“Jawapan ayah saya ialah - Ingat Rasulullah dahulu semasa baginda dikecam dan diduga baginda terus berjuang tanpa mengalah walau dengan hanya beberapa pengikut setia sahaja.
“Ayah tahu ianya adalah sukar. Namun ayah mahu bersama-sama rakyat di kala mereka juga diduga dengan realiti Malaysia Baharu hari ini yang susah dan tidak seperti yang disangka,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Nooryana, bapanya terus berjuang demi rakyat.
Nooryana berkata, dalam kesusahan ketika ini, rakyat memerlukan seseorang yang akan mendengar masalah dan rungutan mereka.
“Seseorang yang bersuara untuk mereka dan memberitahu mereka bahawa keadaan masih boleh diselamatkan dan kita masih boleh berbuat sesuatu untuk membantu,” katanya.
Menurutnya, sifat sabar dan tidak mudah mengalah yang ada pada bapanya dalam menghadapi waktu yang sukar, begitu dikagumi.
Tambah Nooryana, Najib nekad untuk membersihkan namanya dan terus berjuang untuk menambah baik kehidupan rakyat.
Najib semakin dikenali dengan tagline 'Malu apa bossku'.
Nooryana menyedari bapanya sejak akhir-akhir ini mendapat semakin banyak sokongan rakyat, dan dilihat sebagai seorang pembangkang yang amat berkesan dalam menyemak imbang kerajaan.
Bagaimanapun, dengan 42 pertuduhan yang dikenakan ke atas bapanya di mahkamah, Nooryana tertanya-tanya sama ada bapanya itu mampu terus bersabar dan bertahan.
Katanya, setiap saat bapanya berada di dalam kandang tertuduh, beliau akan memikirkan tentang keluarganya, sahabat-sahabatnya, penyokong-penyokongnya, termasuk rakyat yang sentiasa di hatinya.
“Anda adalah sumber kekuatan dan semangat ayah saya. Doa anda akan membantu beliau dalam mengharungi onak dan duri ini.
“Berdirilah bersama beliau ketika ayah saya menghadapi cabaran yang terbesar dalam hidupnya ini,” ujar Nooryana.
Pada Selasa, seperti yang ditetapkan sebelum ini, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dijangka memulakan pendengaran kes melibatkan Najib yang berhadapan dengan berpuluh-puluh tuduhan berhubung dengan pengubahan wang haram, jenayah pecah amanah (CBT) dan rasuah.
Sehingga Jumaat lalu, Najib telah didakwa di mahkamah sebanyak enam kali dengan 42  pertuduhan jenayah. Najib, yang juga bekas presiden Umno, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan.

No comments