Misteri Kubur Pak Haji Dalam Tokong

Misteri Kubur Pak Haji Dalam Tokong

Misteri Kubur Pak Haji Dalam Tokong

Jelebu: Kadi pertama daerah ini, Allahyarham Haji Ishak Abdullah yang meninggal dunia pada 1890 disifatkan sebagai pendakwah Islam terulung di negeri ini.
Namun sesuatu yang menyedihkan apabila kuburnya kini berada dalam sebuah tokong yang terletak Bukit Sarin, Jalan Kuala Klawang-Simpang Pertang di sini.
Wartawan Harian Metro yang menerima maklumat kewujudan dua kubur berusia 129 tahun itu terletak hanya tiga meter dari tokong dan kira-kira 300 meter dari pekan Klawang bertindak ke lokasi bagi mendapatkan gambaran dan butiran jelas daripada beberapa penduduk setempat.
                                       
Penduduk yang mahu dikenali sebagai Pak Din, 76, berkata, perkara itu tidak patut berlaku kerana Allahyarham menyumbang banyak jasa dalam perkembangan Islam di daerah ini sekitar abad ke-18.
Menurutnya, terdapat dua kubur di atas bukit setinggi 50 meter itu dipercayai milik Allahyarham Haji Ishak dan isterinya yang berbatu nisan usang serta dipagar oleh pihak pengurusan tokong.
Katanya, Allahyarham dan isterinya meninggal dunia pada 1890 dan disemadikan di kawasan itu sebelum pembinaan tokong bekenaan pada 1980.
“Berdasarkan maklumat orang terdahulu, Allahyarham Haji Ishak berasal dari Minangkabau dan berpindah ke daerah ini pada abad ke-18.
“Agamawan ini juga dikatakan mempunyai kaitan dengan pembinaan Masjid Kampung Kuala Dulang di sini,” katanya.
Menurut Pak Din, ketika aktif mengembangkan syiar Islam di Jelebu dan daerah berdekatan, Allahyarham Haji Ishak turut dikenali sebagai Kadi Padang Genting.
“Sekitar awal 1980-an ada usaha memindahkan kubur ini, malah mufti negeri ketika itu juga turun ke lokasi meninjau keadaan.
“Namun sehingga kini kubur itu tidak dipindahkan dan memerlukan perhatian sewajarnya daripada pihak berkaitan,” katanya.
Menurutnya lagi, pada masa sama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) pernah melakukan tinjauan bagi memastikan tiada perbuatan pemujaan dan amalan syirik di kubur terbabit.
Usaha Harian Metro menemui ahli keluarga Allahyarham Haji Ishak tidak berhasil apabila penduduk memberitahu tidak mengetahui susur galur keluarga berkenaan.
“Pada masa sama, pihak pengurusan tokong juga enggan memberikan sebarang penjelasan berhubung tapak kubur itu.
Seorang penduduk yang mahu dikenali Ah Keong, 70, berkata, dia dimaklumkan penduduk terdahulu bahawa kubur itu sudah berusia lebih 100 tahun.
“Setahu saya tokong ini dibina di tanah persendirian dan dibenarkan pemiliknya. Operasi di tokong ini diuruskan sebuah persatuan yang bergerak secara sukarela,” katanya ketika ditemui.
Menurut Ah Keong, dia dimaklumkan kubur itu milik orang Islam namun tidak banyak tahu mengenainya.
“Saya sering berkunjung ke tokong ini untuk bersembahyang dan semua penganut diminta menghormati kubur itu.
“Disebabkan itu pihak pengurusan tokong meletakkan pagar bagi memastikan ia terjaga,” katanya.
Kata Ah Keong lagi, mereka juga diminta menjaga percakapan sekiranya berada di kawasan terbabit selain persatuan yang menguruskan tokong ini turut membersihkan kawasan, mengutip sampah dan menebas lalang termasuk di kubur itu.

Post a Comment

0 Comments