PERKONGSIAN foto penyanyi Syafiq Farhain bersama bapanya, Allahyarham Saleem ketika dia masih kanak-kanak menarik perhatian pengikut di laman Instagram.
Menurut Syafiq, gambar itu diambil kira-kira 22 tahun yang lalu semasa dia berusia dua tahun.
Dalam muat naik tersebut, penyanyi lagu Sayang Maafkan Aku ini turut menulis kapsyen menggambarkan kerinduan terhadap arwah bapanya itu.
"22 tahun yang lalu , Abah tetap dalam kenangan," tulisnya ringkas.
Rata-rata pengikut turut menzahirkan rasa simpati dan memahami perasaan Syafiq yang masih kesedihan kehilangan seorang lelaki bernama ayah.
Perkongsian foto Syafiq bersama arwah Saleem di Instagram.
"Di luar nampak happy, dalam hatinya tuhan saja yang tahu, be strong dik! banyakkan berdoa semoga arwah tenang di sana.
"Semua yang mengenali arwah amat merasai pemergiannya walau saya atau orang lain tak mengenali rapat, saya turut merasai kepiluan itu. Stay strong Syafiq," komen pengikut.
Foto yang dimuat naik pada Jumaat itu menerima hampir 30,000 tanda suka dan lebih 200 komen.
Pada 14 Oktober lalu, Saleem atau nama sebenarnya, A.M Salim Abdul Majeed menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 9, Cheras, Selangor.
Penyanyi lagu Suci Dalam Debu itu terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 21 September lalu.
Kemalangan tersebut mengakibatkan tulang rusuknya patah dan dia berada dalam keadaan koma.
Sebelum ini menerusi mStar Online, penyanyi berusia 24 tahun ini berkata dia masih mengingati pesanan bapanya yang meminta dia sentiasa berbuat baik kepada orang sekeliling.
"Dia berpesan nyanyi dengan ikhlas dan sentiasa buat baik dekat semua orang.
"Nak cakap lebih pun saya tak tahu, semoga semua peminat tabah dan doakan yang terbaik untuk arwah," katanya.
0 Comments