SHAH ALAM - “… tidak ada yang kekal di dunia… pangkat dan kuasa. Itulah ingatan spontan yang diberikan seorang ibu apabila anaknya yang kini memegang jawatan menteri Kabinet menerima anugerah Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) membawa gelaran ‘Datuk Seri’, hari ini.
Ingatan berkenaan dikongsikan sendiri Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dalam laman Twitter peribadinya, pagi ini.
Dzulkefly merupakan antara lima menteri kabinet yang tersenarai antara 419 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran Melaka bersempena sambutan ulang tahun ke-80, Yang Dipertua Negeri Tun Dr Mohd Khalil Yaakob kali ini.
Dzulkefly berkata, beliau sempat bertemu dengan ibu tersayangnya dan berasa agak “malu” untuk memberitahu ibunya mengenai penganugerahan berkenaan.
Spontan bonda mengingatkan tidak ada yang kekal di dunia… pangkat dan kuasa… sedarlah diri ini dan sahabat-sahabatku,” katanya.
Sempena majlis berkenaan, empat lagi menteri kabinet yang menerima gelaran “Datuk Seri” ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun; Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr Mujahid Yusof.
0 Comments