Exco Melaka Norhizam Hassan Baktee tidak melihat soal pendidikan merupakan perkara utama dalam mengukur tahap perkhidmatannya terhadap rakyat.
Perkara ini timbul apabila netizen mempersoalkan pekerjaan Norhizam sebelum ini yang dikatakan merupakan pemandu van kilang.
“Soal pendidikan bukan perkara utama sebaliknya bagi saya yang penting adalah kerja. Saya adalah antara exco kerajaan negeri yang kerap turun padang.
“Saya buat kerja dan kalau ada salah guna kuasa saya terus adukan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam wawancara bersama Utusan Malaysia, hari ini.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu itu turut menyindir pihak tertentu dengan tidak menamakan sesiapa telah menggunakan netizen untuk menghentamnya.
“Bagi saya kalau siapa makan cili dia yang akan terasa pedasnya, kalau dulu dia tidak buat kerja maka bila saya kerap turun padang dia akan anggap saya ini sebagai penghalang jadi sebagai penghalang cara hendak ‘buang’ adalah dengan menggunakan netizen hentam saya,” katanya.
Semalam, Norhizam mengemukakan permohonan maaf atas sikapnya meninggikan suara kepada orang ramai seperti rakaman video yang tular kelmarin.
Norhizam menjelaskan, dia sedar insiden yang tular di media sosial itu telah memberikan imej negatif kepada dirinya sebagai wakil rakyat dan kerajaan Melaka.
Bagaimanapun, katanya, tindakannya itu dibuat atas dasar tanggungjawab bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan hidup penduduk terutamanya di kawasannya sentiasa terjaga.
Melalui laman Facebook, netizen terus menghentam Norhizam, antaranya:
Acoy Danial: Norhizam soal kat pakcik tu kenal saya siapa? kalau aku jadi pakcik tu nak saja aku jawab, kenapa tak kenalnya, dulu kau driver van kilang saja.
Darul Manzil: Letak jawatan saja. Pergi bawa van kilang tu semula. Orang pagan pun tak samseng macam kamu.
Asmar Omar Asmar Omar: Macai van kilang jadi YB. Kejutan budaya baru ada SPM suka-suka saja membodohkan orang.
Achoi Lalalitamploy : Samanlah Datuk, awakkan sekolah ada SPM. Rakyat ni tak sekolah, mana ada SPM macam Datuk. Datuk pun ada pengalaman bawa van kilang, rakyat ni tak ada. Hahaha.
Sementara itu, Norhizam ketika ditanya adakah akan mengubah pendekatan apabila berurusan dengan penduduk selepas ini berkata, ia bergantung kepada keadaan.
“Kalau berdepan dengan singa atau harimau adakah saya perlu menghadapinya seperti saya berdepan dengan kucing? Jadi tengok keadaan kalau ia dalam lembut maka lembutlah ia dan kalau keras, maka keraslah ia.
“Bukan saya kurang ajar atau biadab. Anda boleh tanya penduduk di Pengkalan Batu adakah saya ini gengster, mereka semua kenal saya,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
0 Comments