Gaji Teong Kim RM175,000 sebulan,Syed Saddiq pun bising

Gaji Teong Kim RM175,000 sebulan,Syed Saddiq pun bising

Gaji Teong Kim RM175,000 sebulan,Syed Saddiq pun bising

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menyifatkan gaji yang diberikan kepada Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim berjumlah RM175,000 sebulan dengan pengecualian cukai, perlu dinilai semula.

Justeru, katanya, Teong Kim, selaku ketua jurulatih skuad bola sepak negara bawah 16 tahun (B-16), perlu bertanggungjawab terhadap kegagalan skuad kendaliannya mara ke Piala Dunia B-17 di Peru, tahun depan.

Skuad B-16 yang dibentuk menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) gagal melepasi saingan peringkat Kumpulan A apabila tewas 2-0 kepada Jepun pada Kejuaraan Konfederasi         Bola Sepak Asia (AFC) B-16 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.


“Saya dimaklumkan bahawa pakej gaji beliau setiap bulan mencecah RM175,000 yang dibiayai sepenuhnya oleh MSN (Majlis Sukan Negara)...kontrak beliau dan pengurusan tertinggi NFDP  juga perlu dilihat semula,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Menurutnya, Teong Kim seharusnya bertanggungjawab dengan kekalahan itu kerana beliau sendiri yang menetapkan sasaran layak ke Piala Dunia B-17 pada 2019.
Syed Saddiq juga menjelaskan sebanyak RM80 juta dibelanjakan untuk progam NFDP sejak 2014 tidak termasuk dengan perbelanjaan pembinaan AMD di Gambang, Pahang.

Beliau menjelaskan NFDP tidak akan dihentikan namun perlu penstrukturan semula yang akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Khas antara KBS, MSN, FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), NFDP dan pihak berkepentingan pada 15 Okt ini.

“Kita tidak boleh hentikan program NFDP, ini adalah program yang bagus. Memang program akar umbi bola sepak yang tersusun  tapi ia perlu penstrukturan semula.

Selepas berpuluh juta ringgit dibelanjakan, kita (bola sepak) masih di sini. Memang jelas perlu ada penstrukturan semula dan kita tidak boleh cakap kita dalam posisi yang selamat atau selesa,” jelasnya.

Syed Saddiq juga menjelaskan pada peringkat awal NFDP ditubuhkan program itu dijanjikan peruntukan RM20 juta setiap tahun.

Tetapi pada tahun pertama itu sendiri NFDP hanya menerima RM10 juta sahaja pada 2014, kemudian RM7 juta (2015), RM3.5 juta (2016) dan RM3.5 juta (2017).

“Saya nak salahkan semua kepada NFDP tidak boleh kerana kekangan kewangan tapi yang saya musykil walaupun dengan keadaan kekangan kewangan itu, tetap bayar RM175,000 setiap bulan (gaji Teong Kim),” katanya.

Syed Saddiq turut mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif NFDP, Safirul Azli Abu Bakar meletakkan jawatan itu susulan kegagalan skuad negara mara ke Piala Dunia B-17 pada 2019.

Susulan kegalalan skuad B-16 itu ke Piala Dunia B-17, FAM telah mengambil tindakan drastik dengan menamatkan khidmat Teong Kim dengan serta merta.


Teong Kim mula dilantik sebagai Pengarah Projek NFDP pada 2013 disusuli memegang jawatan sebagai Pengarah AMD pada 2016. - Bernama

Post a Comment

0 Comments