Tak Sangka,Menteri Menangis Depan Tukang Kebun

Tak Sangka,Menteri Menangis Depan Tukang Kebun

Tak Sangka,Menteri Menangis Depan Tukang Kebun
MEMANDANGKAN terlalu banyak yang sudah ditulis mengenai politik kebelakangan ini, izinkan saya membawa cerita berunsur nasihat.

Tambahan pula, dua hari sahaja lagi kita akan menyambut Aidilfitri, selepas sebulan berpuasa.

Ceritanya mudah sahaja, iaitu tentang bagaimana seorang tukang kebun yang bijaksana menyelamatkan seorang pembesar negeri daripada hilang kuasa.
Alkisah, pada suatu hari di zaman dahulu kala, ada seorang raja yang membuat keputusan untuk menguji seorang menteri.

“Sudah lama mamanda nikmati jawatan, harta dan kuasa. Maka hari ini beta mahu bentangkan tiga soalan. Jika gagal, mamanda akan hilang segalanya dan dinyahkan dari negeri beta ini. Beta beri mamanda tujuh hari untuk menjawabnya.”

Menteri terus jadi gementar dan gundah-gulana, hingga makan tidak lalu, tidur pun tidak lena lagi.

Habis semua pembantu, anak isteri dan sanak-saudara ditemuinya dan diminta membantunya mendapatkan tiga jawapan itu.

Semakin hari semakin bercelaru fikiran menteri itu, wajah dan pakaian menteri itu bertambah kusut.

Dipendekkan cerita, pada hari keenam, menteri itu disapa si tukang kebun yang nampak perubahan kepada wajah dan pergerakannya.

“Hamba nampak tuan sangat sugul. Apakah masalahnya?. Beritahulah pada hamba, mana tahu kalau-kalau hamba boleh tolong,” kata si tukang kebun, ikhlas.
“Pembesar-pembesar negeri pun tidak mampu selesaikan masalah aku, ini pula si tukang kebun,” kata menteri di dalam hati.

Tetapi memandangkan waktu sudah terlalu suntuk, suka atau tidak menteri itu terpaksalah menelan perasaan bongkaknya, lalu membentangkan soalan kepada si tukang kebun yang menanti penuh sabar.

“Untuk soalan pertama, raja mahu tahu dalam banyak perkara palsu, apakah kepalsuan yang paling besar?,” ujar menteri.

“Itu mudah sahaja tuan. Kepalsuan paling besar adalah dunia. Jika dunia ini bukan palsu, ALLAH tidak akan beri segala kemewahan kepada mereka yang mengkufuriNya.
“Pada ALLAH, dunia ini lebih kecil nilainya daripada sebelah sayap seekor nyamuk.

“Apakah kita membawa jawatan, pangkat, harta dan kuasa ketika menemui ALLAH? Kita hanya akan dibalut dengan kain tidak berjahit dan dikebumikan enam kaki dalam tanah, bukan!

“Kita terpaksa tinggal segala-galanya dan hanya membawa amalan, sedekah jariah dan anak-anak yang mendoakan. Bahkan kita akan membawa dosa bersama kita.
Untuk soalan kedua, kata menteri, raja mahu tahu, dalam banyak-banyak kebenaran, apakah yang paling benar?

Kata tukang kebun: “Itu pun mudah, Jawapannya ialah ‘mati’. Maknanya, semua orang tahu, setiap makhluk pasti akan mati. Yang kufur, bahkan ateis sekali pun mengakui mati itu benar.

“Tuan, saya dan semua makhluk tidak tahu apakah kita akan mati lima minit, lima hari, lima bulan atau lima tahun dari sekarang, tetapi kita tahu kita pasti mati apabila tiba giliran kita. Tidak begitu?

“Betapa malangnya apabila ada yang merancang segala tipu helah untuk mencapai kehendak nafsu, maki hamun untuk mendapat jawatan, mengaut harta dan kuasa, sedangkan di penghujungnya kita akan pergi dengan tangan kosong, meninggalkan perbuatan buruk dan nama yang mengaibkan, tetapi kita akan membawa dosa untuk dibentangkan di depan ALLAH.”

Menteri sudah mulai sebak.

“Soalan ketiga?” tanya tukang kebun. “Raja mahu tahu, dalam banyak-banyak perkara yang tinggi, apakah yang paling tinggi di dunia?,” kata menteri.

“Itu pun mudah. Cuma tuan balik dahulu, siapkan makanan yang paling tuan gemar dan bawa kepada saya esok,” kata tukang kebun

Timbul rasa marah di hati menteri itu diarah tukang kebun begitu rupa, tetapi kerana terdesak untuk mendapatkan jawapan bagi menyelamatkan dirinya daripada hukuman, menteri terpaksa akur.

“Saya mahu tuan makan makanan ini,” kata tukang kebun apabila menteri meletakkan makanan paling digemarinya itu di depan tukang kebun keesokan hari.

“Sila duduk dan kongsi makanan dengan haiwan ternakan saya ini,” kata tukang kebun.
Kemarahan menteri kini memuncak, tetapi kerana itu adalah hari terakhir untuk dia menyembahkan ketiga-tiga jawapan kepada raja, mahu tidak mahu terpaksalah menteri  menelan ego dan menurut arahan tukang kebun.

Setelah habis makanan itu, tukang kebun pun bertanya: “Tentu tuan sudah tahu sekarang ini apa paling tinggi di dunia”.

“Maruah?” tanya menteri. “Bukan,” jawab tukang kebun. “Ego?”, tanya menteri. “Itu pun bukan,” kata tukang kebun.

“Jawapannya ialah ‘matlamat’. Bayangkan, fikiran tuan dalam tempoh tujuh hari ini berkecamuk, diri tuan tidak terurus, pakaian tuan kusut. Tuan sanggup meminta bantuan sesiapa sahaja, tidak kira walaupun orang biasa, bahkan tuan lakukan yang bertentangan dengan ego tuan selama ini semata-mata untuk mencapai matlamat tuan agar tuan dapat bentangkan jawapan kepada raja supaya tuan tidak hilang jawatan, harta dan kuasa.”
Menteri hanya mampu mengangguk. Air matanya bercucuran!

Selamat menyambut Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

FARUSH KHAN

Post a Comment

0 Comments